VVIP BLOG INI

Pernyataan Akhbar Saya Mengenai BERSIH 2.0: "Dialog Lebih Berkesan Berbanding Demonstrasi, Kata Pemimpin Pelajar"

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 7/06/2011 06:47:00 pm

4

JAKARTA, 6 Julai (Bernama) -- Pendekatan berdialog adalah pilihan yang lebih baik berbanding tindakan berdemonstrasi bagi mencapai objektif yang dihasratkan, kerana demonstrasi lebih banyak memberi kesan buruk.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Khairul Hafidz AlKhair Khairul Amin berkata dialog adalah cara lebih baik digunakan oleh penganjur perhimpunan haram Bersih 2.0.

Namun pada masa yang sama beliau berharap kerajaan juga bersedia membuka ruang untuk berdialog dengan semua pihak secara terbuka.

Beliau yang tidak menyokong sebarang bentuk demonstrasi di Malaysia, berharap penganjur perhimpunan haram itu menghormati dan akur dengan titah khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang antara lain mengingatkan pentingnya menjaga supaya tuntutan demokrasi tidak membawa kepada kemusnahan kepada negara.

Demonstrasi jalanan bukan sahaja mengganggu kestabilan negara, malah boleh memecah belahkan integrasi nasional yang telah terbina sekian lama, kata pemimpin pelajar itu di sini Rabu.

Dengan mengambil contoh di Indonesia yang setiap hari dilaporkan di televisyen mengenai tindakan kumpulan tertentu berdemonstrasi di jalanan, beliau berkata perbuatan mereka itu tidak menampakkan sebarang kesan kepada perubahan dasar kerajaan terhadap isu yang dituntut.

"Tindakan mereka itu hanya mencoretkan nama baik negara di mata dunia dan tidak sedikit kerugian rakyat dan negara harus ditanggung oleh mereka.

"Atas pemerhatian dan pengalaman saya di sini, saya secara peribadi kurang bersetuju rakyat menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka dengan turun di jalan. Itu bukan penyelesaian yang terbaik," katanya.

Khairul Hafidz berharap kerajaan akan mengadakan banyak dialog dengan semua pihak terbuka bagi membincangkan isu-isu proses pilihan raya di Malaysia dan menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan memang serius menjadikan pilihan raya negara lebih telus dan adil sesuai dengan aspirasi rakyat.

Rakyat perlu sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan usaha itu agar pihak tertentu tidak mengambil kesempatan memutarbelitkan fakta, tambah beliau.


-- BERNAMA