VVIP BLOG INI

#MyIdea: "1DayCare 1Neigborhood", Solusi Masalah Ketergantungan Pengambilan Pembantu Rumah

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/18/2012 01:17:00 PM

0

Salam,

Saya berminat dengan satu isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang mengenai peningkatan biaya pembantu rumah. Untuk isu ini, saya berpendapat bahawa kerajaan boleh mengambil satu insiatif untuk membantu mengurangkan ketergantungan rakyat kepada pembantu rumah dari luar.


Saya mencadangkan agar satu program “1Day-Care 1Neighborhood” sebagai salah satu langkah proaktif dalam mengurangkan ketergantungan rakyat. Ia sesuai dengan dasar kerajaan yang memerintah.


Say a melihat antara yang menjadi penyebab utama mengapa pembantu rumah diperlukan adalah kerana keselamatan anak-anak yang ditinggalkan di rumah oleh kerana kedua-dua ibu bapa mencari nafkah di luar.  Makanya perlu satu formula dari kerjaan memerintah untuk menangani isu ini.


Untuk program ini, beberapa kementerian boleh ambil tanggungjawab ini seperti Kementerian Sumber Manusia atau Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Inisiatif kementerian adalah untuk buka dan sediakan perkhidmatan tersebut. Ini tidaklah bermakna ianya percuma, perkhidmatan disediakan dan keluarga juga perlulah membayar juga untuk menampung kos.


Penjaga anak-anak di dalam day care tersebut boleh dilatih secara professional dan waktu yang sama daripada kementerian berkaitan merangka satu program yang baik yang memikirkan mengenai pertumbuhan dan sahsiah anak-anak yang dihantar. Untuk elakkan anak-anak yang dihantar diabaikan, penjaga boleh ditambah dari masa ke masa sebagai contoh kuota 5 anak untuk satu penjaga. 


Antara program untuk day care di samping menjaga anak adalah membuat evaluasi mengenai  pertumbuhan dan sahsiah anak sebagai contoh imunisasi, perkembangan tumbuh kembang dan program moral serta agama ikut agama masing-masing. Perancangan serampang dua mata, boleh bantu keluarga untuk bentuk peribadi anak yang lebih baik sejak kecil.


Program seperti ini juga boleh elakkan daripada terjadinya kes-kes yang tidak kita ingini yang sering berlaku dalam kes pembantu rumah yang diambil.

Kementerian yang berkaitan boleh bekerjasama dengan JKK setiap kawasan untuk mencari tempat yang sesuai untuk membuat day care dan mendengar pendapat JKK setempat untuk mencadangkan nama yang sesuai menguruskan day care tersebut.


Saya selalu memikirkan, mengapa kerajaan selalu mengambil pembantu dari luar untuk selesaikan masalah ini? Apakah tiada orang kita yang berminat? Saya berpendapat pasti ada. Yang penting pendedahan, penganjuran dan kursus yang sesuai untuk program ini. Kita tidak perlukan mereka yang punya kelayakan yang tinggi untuk menjadi penjaga anak, cukuplah mereka yang punya minta. Yang penting adalah satu kursus intensif dan pembinaan attitude penjaga anak-anak , mereka yang benar-benar boleh memberikan khidmat yang terbaik bukan sambil lewa. Jangan takut tidak mendapat sambutan, pengalaman saya melihat bukanya day care yang terorganisasi seperti ini banyak yang mahu, seharusnya yang merancakkannya adalah kerajaan memerintah.


Bayangkan dengan dianjurkan program seperti ini, berapa banyak peluang pekerjaan buat rakyat kita sendiri? 5,000-10,000? Sudah cukup banyak untuk bantu rakyat kita sendiri. Mengapa tidak dicuba?


Dari mencari sumber manusia di luar, seharusnya strategi kerajaan adalah memaksimalkan sumber manusia dalam negara. Saya yakin program ini akan memanfaatkan banyak pihak. Dana SERATUS JUTA untuk program seperti ini? Rancang dan buat dengan baik, lihat 5 tahun akan datang, pasti hasilnya baik. Saya yakin...

Hati-hati Pengguna Facebook..

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/14/2012 09:59:00 PM

2

  Salam,

Beberapa perkara yang saya takuti apabila semakin ramai yang menggunakan laman media sosial dan media baru seperti Facebook salah satunya adalah tersebarnya gambar-gambar dan video-video yang tidak sepatutnya sebagai contoh gambar dan video ngeri yang berkaitan dengan kemalangan, perperangan dan lain-lain lagi.


Ini pada pandangan saya adalah satu perkara yang sangat bahaya antara kita semua sedar atau tidak.


Untuk hal seperti ini, ada di antara pengguna laman sosial ini sudah terbiasa kerana sudah punya pendedahan yang cukup lama atau mereka yang punya profesi yang berkaitan dengan hal-hal seperti itu sebagai contoh doktor, perawat, tentera dan ahli forensik. Namun begitu tidak semua yang punya kekuatan mental dan kesiapsediaan untuk melihat atau menonton hal seperti itu, apa lagi ianya bukanlah atas kemahuan mereka kerana secara sendirinya terpapar di wall post masing-masing.


Apa yang saya lebih takutkan lagi dan sering kita lupa juga yang bahawa bukan tahap umur kita sahaja merupakan pengguna laman sosial, banyak juga pengguna adalah kanak-kanak yang bagi saya secara psikologinya mereka masih belum kuat untuk menerima input seperti ini. Interpretasi mereka tidak semestinya sama seperti orang dewasa. Akal mereka masih tidak boleh memproses satu-satu maklumat secara tuntas dan akhirnya ini boleh mempengaruhi dan mengubah personaliti dan persepsi mereka tanpa sedar.


Apakah input seperti ini mendorong mereka melakukan perkara yang tidak diingini di kemudian hari seperti yang kita lihat di negara kita sekarang? Wallahu'alam. Kita harapkan jangan...


Oleh itu, saya berharap hati-hati apabila kita mula untuk mengeluarkan apa sahaja bahan di laman sosial. Permainan laman sosial ini sebenarnya sangat bahaya dan yang boleh mengawalnya adalah kita sebagai pengguna. :)
 

Perang Persepsi: Timbang Tara Benar Dan Salah

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/12/2012 07:41:00 PM

0

Salam,



  

Di dalam suasana politik di Malaysia sekarang, Perang Persepsi adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Pelbagai maklumat disalurkan dan pelbagai isu dimainkan serta ditimbulkan supaya persepsi di kalangan rakyat ini terbentuk, apakah persepsi yang terbentuk ini adalah satu persepsi yang baik ataupun tidak.


Apa yang salah adalah apabila ada di kalangan mereka sangat tidak bertanggungjawab dengan memberikan maklumat-maklumat yang tidak benar atau separuh benar kepada yang mendengar. Mereka tidak peduli jika ianya tidak betul, yang penting ianya memihak kepada kelompok mereka dan berjaya membuatkan mereka yang mendengar menyalahkan pihak yang satu lagi. Apabila terbukti maklumat yang diberikan itu salah, tidak bertanggungjawabnya mereka apabila mereka tidak cuba untuk membetulkan kembali informasi tersebut, biarkan ianya dihadam oleh pendengar dan tersebar dengan sendirinya. Jika yang tahu salah biarlah tahu, tetapi mengapa perlu untuk diberitahukan kepada mereka yang tidak tahu? Biarkan sahaja maklumat itu disebar luas


Sebagai pendengar yang menerima maklumat. Jadi se-objektif mungkin, apabila menerima satu-satu maklumat, jangan menerima bulat-bulat, cari juga maklumat-maklumat dari sumber yang berbeza untuk kita sahkan bahawa informasi yang kita dengar dan dapat itu benar. Masalah daripada pendengar apabila tidak mahu melakukan proses timbang tara tersebut. Maka, persepsi yang dibina adalah berdasarkan maklumat yang salah.


Sepanjang saya tinggal di Indonesia, saya dapat melihat bagaimana satu-satu maklumat itu dimanipulasikan. Dengan kekuatan dan kebebasan media di Indonesia yang mana kuasa media ini dipimpin oleh beberapa politik tertentu, satu-satu informasi itu dimainkan dan dibesar-besarkan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap sesuatu. Saya yakin rakan-rakan yang berada di Indonesia pernah merasai sendiri permainan persepsi di sini dan seharusnya rakan-rakan di Indonesia adalah orang yang lebih matang dalam memilah adakah maklumat itu benar atau tidak.


Tanggungjawab kita? Dengar semuanya, jangan cepat melatah, kaji dahulu adakah ianya benar atau tidak. Insyaallah persepsi yang dibina adalah persepsi yang tepat menggunakan akal fikiran yang matang dan bukan berlandaskan emosi semata-mata.

Debat: Platform Baru Dalam Menongkah Ke Arah Politik Dan Demokrasi Baru

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/06/2012 08:51:00 PM

0

Salam,

Di dalam negara masa kini timbul satu gelombang di mana debat mula menjadi popular. Bagi saya ini adalah satu perkara yang positif dan progresif, panel-panel dari kalangan pemimpin politik, aktivist dan ahli akademik dapat memberikan pandangan dan idealisme mereka di dalam satu-satu isu yang dibawa dan dibincangkan.


Saya telah melihat bagaimana Indonesia telah ke depan menggunakan debat sebagai platform untuk melontarkan pandangan mereka. Dari situ, rakyat yang mendengar dapat menganalisis, mengkaji dan menilai satu-satu isu yang dibawa.


Persoalannya adalah, apakah rakyat Malaysia telah bersedia untuk menggunakan medan ini sebagai satu medium percambahan ilmu dan memberikan pandangan secara matang dan bijaksana? Dan apakah rakyat yang mendengar dapat menganalisis dan menilai satu-satu isu itu secara adil dan tidak memihak membuta tuli? Itu yang harus kita gali dan fikirkan


Debat adalah satu medan yang sepatutnya diangkat dan diraikan. Ini adalah peluang dan ruang panel-panel yang dipilih memberikan pandangan profesional dalam profesi dan bidang mereka.


Seharusnya platform debat ini sendiri harus punya matlamat dan objektif yang lebih jauh. Bukan hanya sekadar panel terpilih memberi pandangan dan rakyat mendengar dan berhenti setelah tamat sesuatu debat.


Seharusnya debat ini adalah satu medium untuk kita menyiapkan rakyat dalam rakyat bersedia untuk melangkah ke arah politik baru, ke arah demokrasi baru yang mula dibawa oleh semua pihak. Apabila kita berbicara mengenai soal politik dan demokrasi baru, kita membayangkan bahawa rakyat punya kefahaman, kebijaksaan dan ilmu yang cukup dalam memberikan pandangan dan dalam menerima serta menolak sesuatu pendapat. Debat adalah wacana di mana kematangan adalah faktor utama yang perlu diterapkan. Mudah kata, nak berdebat perlu dengan ilmu yang cukup, bukan hentam keromo sahaja.


Tun M mengatakan rakyat masih belum bersedia, saya bersetuju, tetapi ini kerana debat hanya untuk platform kepada orang-orang tertentu sahaja bukan digunapakai oleh semua orang. Seharusnya rakyat harus mula membiasakan diri dengan debat, di mana-mana, dalam isu apapun, apakah ianya isu politik, isu semasa, isu ekonomi, pembangunan mahupun isu alam sekitar, gunakan platform debat. Akhirnya, rakyat menjadi lebih matang dalam menilai dan mula melengkapkan diri dengan ilmu. Tidak seperti kita lihat sekarang, jika rakyat masih lagi tidak mahu mengubah mentaliti dan pemikiran, maka kata Tun M benar, rakyat masih lagi tidak bersedia untuk berdebat.


Jangan hanya kita tunggu debat DS Najib dan DSAI sahaja, apakah hanya pemimpin politik punya hak untuk gunakan platform ini? Kita juga punya hak untuk menyuarakan pendapat, platform ini lah yang terbaik.

Kita sebagai orang muda dan belia? Selalu mendengarkan mana-mana forum atau debat yang dianjurkan, mula untuk kritis untuk memberikan pandangan, atau paling tidak ajak rakan-rakan untuk berdebat dalam sesuatu isu dengan tidak melupakan tatakrama dalam perdebatan. Yang kita cari bukan BETUL bukan SALAH, yang kita mahukan mencari di mana titik temu dan penyelesaian masalah.

Hasil Daripada Perbincangan Dengan Seorang Pengarah di JPT Mengenai Graduan Dari Indonesia

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/05/2012 11:51:00 PM

1

Salam,

Sewaktu pulang ke Malaysia tempoh hari, saya sempat bertemu dengan seorang Pengarah di Jabatan Pengajian Tinggi di Putrajaya, seorang profesor di dalam bidang perubatan. Dalam pertemuan itu, kami berbincang mengenai pandangan JPT dan MMC mengenai graduan perubatan dari Indonesia


Secara keseluruhannya, apa yang dapat saya tangkap adalah, mereka mempunyai persepsi yang kurang baik terhadap graduan dari Indonesia. Bagi mereka graduan perubatan dari Indonesia tidak mencapai kualiti seperti mana yang mereka harapkan.


Beberapa isu yang dapat saya tangkap daripada beliau mengenai persepsi kurang baik mereka kepada graduan dari Indonesia:


1. Teknologi perubatan di Malaysia jauh lebih maju daripada Indonesia
2. Masalah dengan sistem pentadbiran kementerian kesihatan dan universiti yang bagi JPT dan MMC susah untuk dibawa berbincang
3. Kurangnya waktu klinikal di Indonesia, dari JPT dan MMC mencadangkan 120 minggu dan pihak universiti dari Indonesia tidak dapat memenuhi permintaan mereka
4. Pihak Indonesia tidak membenarkan pelajar Malaysia untuk menduduki UKDI yang bagi mereka adalah perlu untuk graduan dari Indonesia duduki.
5. Masalah bahasa, Malaysia menggunakan Bahasa Inggeris dalam semua terminologi perubatan
6. Masalah membentangkan kes kepada MO dan spesialis
7. Prosedur pengubatan pesakit hospital di Malaysia adalah berbeza dengan di Indonesia

Bagi saya, setelah mendengar segala isu daripada pengarah tersebut, apa yang saya dapat simpulkan adalah beliau memberikan pendapat secara umum dan mungkin ada beberapa peristiwa yang pernah dilalui oleh beliau sehingga beliau punya persepsi seperti ini.

Saya melihat segala masalah yang berlaku ini terbahagi kepada dua isu besar iaitu isu susahnya mereka mahu berbincang dengan pihak pentadbiran di Indonesia dan kedua terdapat perbezaan sistem antara dua negara.

Saya serahkan kepada pihak JPT dan MMC untuk menyelesaikan isu pentadbiran, menggunakan kebijaksaan mereka untuk mencari titik temu dalam apa jua isu. Yang saya ingin tekankan di sini adalah isu perbezaan sistem antara dua negara.


Mengenai perbezaan sistem, dalam perbincangan ini setelah saya mendengar segala permasalahan, saya mencuba memberikan jalan penyelesaian kepada beliau. Say mencadangkan agar pihak JPT dan MMC dalam membuat satu program khas untuk semua graduan lepasan dari luar negara seperti program attachment terstruktur di mana di dalam program ini graduan dapat pendedahan mengenai terminologi dan susasana hospital di Malaysia.

Saya melihat dari segi ilmu dan praktikal kita graduan dari Indoensia, tidak tidak kalah berbanding pelajar dalam negara, akan tetapi masalah kita adalah dari segi menyampaikan ilmu kita dalam bahasa yang mereka mahukan iaitu Bahasa Inggeris. Cukup jika dibuat program selama 6 minggu, seminggu untuk satu bahagian untuk semua 6 bahagian besar di hospital, untuk graduan dapat membiasakan diri dengan keadaan hospital di Malaysia.

Mengenai UKDI dan minggu klinikal, ini patutnya tidak timbul kerana saya merasakan graduan dari Indonesia sudah diberikan pengalaman yang cukup, dan ini akhirnya tergantung kepada individu, adakah mereka mahu atau tidak ilmu tersebut. Jika isunya adalah masalah bahasa dan cara bentangkan kes kepada spesialis, tambahkan waktu klinikal juga adalah tidak relevan kerana kami tetap prosedur di Indonesia.

Mengenai teknologi, ini kita akui, akan tetapi itu boleh kami pelajari, isu yang lebih penting adalah pola fikir untuk kita mengdiagnosis yang perlu dibetulkan bukannya teknologi.

Saya akan terus berbincang dengan pegawai-pegawai di JPT dan MMC untuk kita selesaikan masalah. Tidak ada guna hanya cerita masalah, tetapi tidak mahu cari jalan penyelesaian. Dari pihak beliau juga mahu isu ini terus dibincangkan.

Walauapapun, apa yang saya minta kepada semua mahasiswa perubatan di Indonesia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memebetulkan kembali persepsi mereka. Saya yakin, bukan sahaja pengarah ini, tetapi banyak spesialis dan MO yang punya persepsi yang sama. Kita tunjukkan kepada mereka yang graduan yang ada sekarang bukan lagi seperti yang mereka fikirkan. Tunjukkan kepada mereka kita juga punya kualiti yang sama seperti graduan dari negara lain.

Jika cadangan yang saya berikan kepada beliau tidak dapat dilaksanakan, alternatif lain adalah sebelum bekerja, rakan-rakan boleh membuat attachment sendiri untuk pengalaman atau bertanya kepada rakan-rakan kalian yang telah bekerja di Malaysia. Yang penting sebelum bekerja kita telah punya modal, bukan kosong tidak tahu apa-apa

Kita belajar dengan baik, kita dapatkan pengalaman sebanyak-banyaknya. Insyaallah kita dipermudahkan.

Pernyataan Rasmi PKPMI: Pelajar Ambil Risiko Sewa Rumah Murah Kerana Kos Sara Hidup Tinggi Di Jakarta

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 2/14/2012 05:58:00 AM

0

Oleh Ahmad Fuad Yahya


JAKARTA, 13 Feb (Bernama) -- Kejadian bumbung runtuh di rumah sewa yang didiami 11 mahasiswi Malaysia di Grogol, Jakarta Utara tengah malam Sabtu seharusnya membuka mata pihak penaja mengenai keperluan yang sangat mendesak untuk menaikkan elaun pelajar tajaan mereka.


Inilah pandangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Di Indonesia (PKPMI) mengenai peristiwa itu, kerana kadar elaun pada masa ini hanya memampukan pelajar Malaysia di Jakarta khususnya, menyewa rumah yang kurang terjamin keselamatannya.


"Daripada kajian yang telah kami lakukan, didapati bahawa rumah tersebut sememangnya tidak dijamin dari segi keselamatan, yang mana tiang penyangga kayu, bahagian hadapan bumbung rumah itu telah reput dan dinding-dinding rumah yang tidak kukuh.


"Bagaimanapun, pelajar Malaysia berkenaan menyewa juga rumah berkenaan kerana itu adalah rumah yang termurah di kawasan mereka dan harga tersebut adalah yang termampu untuk mereka bayar setiap bulan," kata Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin, Yang Dipertua PKPMI Pusat di sini, Isnin.


Mahasiswi Malaysia yang terlibat dalam kejadian tengah malam Sabtu itu terdiri daripada lapan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tiga pelajar tajaan Mara, yang sedang menuntut di Universiti Trisakti, Jakarta Utara.


Khairul Hafidz berkata antara faktor mengapa mereka mengambil keputusan untuk menyewa rumah itu ialah bahawa kos sara hidup di Jakarta yang semakin meningkat setiap tahun yang telah mencengkam kehidupan pelajar-pelajar tajaan.


Sebagai contoh, pelajar Nor Ubudiah Seti membayar RM230 sebulan untuk menyewa sebuah bilik di rumah itu, sedangkan untuk menyewa bilik di rumah keadaannya lebih baik kadarnya ialah RM350 sebulan. Pada umumnya sewa sebuah bilik di Jakarta ialah antara RM400 dan RM500 sebulan.


Yang Dipertua PKPMI itu berkata kos sara hidup bukan sahaja meningkat di Jakarta tetapi di seluruh Indonesia dan sejak lima tahun lepas ia telah meningkat dua kali ganda.


"Anggapan bahawa kos sara hidup di Indonesia lebih murah adalah tidak tepat memandangkan negara ini kurang memberi subsidi kepada barang-barang keperluan harian selain lemahnya pengawasan terhadap harga barang-barang kawalan.


"Oleh itu, kami PKPMI sekali lagi memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara untuk mempertimbang semula elaun sara diri mahasiswa tajaan JPA dan Mara," katanya.


Beliau berkata kali terakhir kajian semula elaun sara hidup pelajar tajaan adalah pada tahun 2006 dan untuk mengkaji semula elaun itu di Indonesia setelah 6 tahun adalah sesuatu yang berasas dan wajar.


PKPMI, katanya telah menghantar satu kertas cadangan kepada JPA, yang turut menyertakan hasil kajian persatuan itu tentang kos tempat tinggal, kos pengangkutan dan harga barang keperluan harian di seluruh Indonesia, namun hingga sekarang belum belum mendapat maklum balas.


Antara lain, PKPMI telah mencadangkan supaya JPA dapat menghantar satu pasukan pegawai ke Indonesia untuk membuat penilaian terhadap kos yang perlu ditanggung mahasiswa tajaan di beberapa tempat di Indonesia agar mereka lebih memahami isu yang membelenggu pelajar-pelajar tajaan di Indonesia selama ini.


"Pelajar tajaan tidaklah mengharapkan peningkatan elaun sara hidup yang terlalu banyak, yang diharapkan ialah JPA dapat merangka satu elaun sara hidup yang baru, yang dapat menampung keperluan mereka di sini agar pelajar tajaan dapat menjalani waktu perkuliahan mereka tanpa terlalu memikirkan beban yang perlu
ditanggung setiap hari," katanya.




-- BERNAMA

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim Mengenai Isu TKI dan Persempadanan Wilayah Malaysia-Indonesia Di ITB Bandung

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 1/30/2012 09:57:00 PM

2

Bila Terpilih PM, Anwar Janji Prioritaskan TKI dan Perbatasan

 

 
 
 
 
Senin, 30 Januari 2012 16:43 WIB
 
REPUBLIKA.CO.ID, BANDUNG -  Penanganan permasalahan tenaga kerja Indonesia (TKI) dan perbatasan wilayah antara Malaysia dan Indonesia bakal jadi prioritas utama. Pernyataan itu dilontarkan wakil perdana menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, jika dirinya terpilih menjadi Perdana Menteri Malaysia.

"Oh semua, saya akan prioritaskan semuanya dari mulai masalah tenaga kerja Indonesia sampai masalah perbatasan," kata Anwar Ibrahim, usai memberikan orasi ilmiah di Aula Barat Kampus Institut Teknologi Bandung (ITB), Senin.

Menurut dia, permasalahan tenaga kerja Indonesia tidak harus diselesaikan dengan hukuman cambuk atau sejenisnya tapi harus ditangani dengan bijak.

"Kalau ada kasus kriminal, tidak masalah ini orang Indonesia, orang Burma. Ini soal pekerja asing. Jangan jadikan mereka itu sebagai budak, ini soal moral bukan soal politik," ujarnya. "Bagi saya ada kasus di mana, mereka diperlakukan dan diapa-apakan tapi seolah-olah orang kaya dilindungi," kata Anwar.

Di hadapan para dosen, Rektor ITB, mahasiswa ITB dan tamu undangan lain, Anwar Ibrahim  pun berjanji jika dirinya terpilih sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Pemilu Malaysia 2012, ia akan menurunkan harga minyak dan gas di Malaysia.

"Apa hal pertama yang akan saya lakukan untuk negara saya kalau saya terpilih jadi Perdana Menteri Malaysia,. Saya bilang dalam satu hari saya akan turunkan harga minyak dan gas di Malaysia," ujarnya.

Menurut Anwar, Malaysia ialah salah satu negara penghasil minyak bumi dan gas terbesar dan setiap tahunnya pemerintah Malaysia memperoleh keuntungan 90 miliar ringgit per tahunnya.

Dirinya menyakini akan mendapatkan dukungan besar dari rakyat Malaysia dalam Pemilihan Umum 2012 di Negeri Jiran tersebut.

"Kalau dilihat dari dukungan rakyat, setelah dibebaskan 9 Januari lalu. Terjadi dukungan dari rakyat yang besar," ujarnya.
Redaktur: Ajeng Ritzki Pitakasari
Sumber: Antara





Saya akan beri pendapat sy mengenai dua isu ini setelah ini. Jangan buat kenyataan populis DSAI jika tidak tahu fakta...

Twitter

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 1/30/2012 06:49:00 PM

0

Salam,






Untuk teman-teman yang mengikuti pandangan saya mengenai isu semasa dan juga isu politik boleh follow twitter saya di

@khairul_hafidz


Saya kurang aktif di blog buat waktu sekarang, saya sering melontarkan idea saya di twitter, kepada yang punya akaun twitter boleh follow saya, terima kasih kerana masih sudi mendengar pemikiran saya yang tidak seberapa ini

Satu Dosa Buat Mereka, Segunung Buat Kamu

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 1/25/2012 06:23:00 AM

0

 Salam,
 
Saya bukanlah orang handal dalam agama dan tidaklah pula mempunyai akhlak yang baik, akan tetapi apa yang sering menasihati diri adalah jangan sesekali MENGHAKIMI seseorang.

Acapkali kita lihat, sebagai contoh apabila seorang lelaki itu tidak berkelakuan yg baik menurut mereka atau apabila seorang wanita itu tidak bertudung litup seperti mereka, mulalah kita menghakimi mereka & dihebohkan ke seluruh rakan taulan & kaum kerabat masing-masing, seolah-olah nerakalah bagi mereka ini, tiada lainnya.

Siapa kita untuk menentukan di mannakah kedudukan mereka setelah mati? Siapa kita untuk mengatakan buruknya mereka di mata-Nya? Dan akhirnya, sungguh sempurnakah akhlak kita hinggakan kita memburuk-burukkan mereka.

Jika kita merasakan itu adalah salah, kita tanamkan azam kepada diri yang kita tidak akan menjadi seperti mereka & doakan mereka akan berubah. Jangan kita terlalu harap perubahan dalam waktu yang singkat, mungkin sahaja 10-20 tahun lagi, siapa tahu?

Hebatnya syaitan itu bukan hanya bisiknya kepada kaum Adam menyuruh ke arah kejahatan tetapi bisiknya memberitahu yang kita sudah jauh lebih baik dari mereka itu. Timbullah riak, bertambahlah dosa.

Tidak perlu menghakimi kerana kita tidak tahu bagaimana antara mereka dengan Allah. Cukuplah yang memberi hukuman itu Allah bukan kita manusia.

SATU dosa buat mereka, SEGUNUNG buat kamu....

Si Nenek Tua..

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 1/24/2012 06:35:00 AM

4


Pulang ke rumah, hujan rintik-rintik lagi, turun sahaja dari angkut mahu cepat-cepat sahaja sampai rumah... Tak pandang depan terus mempercepatkan hayunan kaki... diri terhenti, kerana di depan seorang nenek tua yang berjalan perlahan, dengan badan agak membongkok.. kaki pula sedikit terseret apabila berjalan.. nak dipotong nenek tak boleh kerana ada dua batang tiang yang mengecilkan lorong.. sekeliling jalan tertakung air separas buku lali

Hati mula rasa nak marah, sudahlah hujan, bawa beg sudahlah berat dengan laptop, badan pula penat baru selesai kuliah di hospital... orang tua di depan ni jalan lembab pula tu...

Tiba-tiba hati terdetik, otak ini membayang nenek tua di depan sebagai diri sendiri bila waktu tua nanti..."eh? waktu tua nanti aku macam ni ke? Jalan terbongkok-bongkok, kaki digagahi juga melangkah walaupun rasa nak tercabut sendi lutut... Nak marah nenek lambat berjalan, nanti aku tua, adakah orang akan marah aku macam ni?"

Sayu dengan diri... lupa bahawa diri sendiri juga akan tua suatu hari nanti, agaknya bagaimanalah perasaan si nenek ini jika tahu orang muda belia di belakangnya ini sedang memarahinya? Hanya kerana diri sudah dimamah usia sebegini?

Aku berhenti.. membiarkan nenek melewati jalan antara dua tiang itu, setelah nenek lalu, baru melangkah kaki kembali...

Kisah Ibu Ceu Ceu, Hebatkah Kita?

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 1/23/2012 06:34:00 AM

0

 
 
Kami di rumah ini punya seorang pembantu. Namanya Ceu ceu. Ibu umur 40-an yang sering senyum dan sangat rajin dalam membuat kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan. Nama pun rumah orang bujang, hidup sendiri pun belum tentu terurus inikan pula nak uruskan rumah, jadi kepada Ceu ceu lah kami bergantung mengemas rumah.

Satu perkara yang saya mengagumi Ceu ceu adalah dia jarang mengeluh jika dia terpaksa membuat kerja yang banyak dan dia selalu kreatif dalam mencari cara untuk menyelesaikan sesuatu.

Rumah kami diserang tikus-tikus, Ceu ceu lah yang sedaya upaya mengemas kawasan-kawasan tempat curiga kawasan penempatan tikus durjana. Habis almari dia selongkar untuk dibersihkan. Dicuba dibuat tempat perangkap tikus (pakai kertas kotak , diletak gam dan makanan, kalau tikus malang, melekat pada kad tu dan tikus dibuang). Walaupun seekor sahaja yang masuk perangkap tapi tetap jasanya saya kenang. Ada dia mengeluh? Tidak sama sekali

Terbaru, tempat penyidai baju pula rosak, tidak disuruhnya kami beli yang baru, tapi dibuat tempat penyidai baju dari batang penyapu plastik, dan dibuat lubang-lubang menggunakan plastik untuk menyangkut baju. Satu lagi idea Ceu ceu yang membuatkan saya kagum. Ada dia mengeluh? Tidak sama sekali

Akhirnya diri ini terfikir, kita bangga dengan diri kita yang kononnya orang-orang terpelajar, tetapi apabila diuji sedikit, apabila disuruh sedikit, apabila ada perkara yang berlaku yang tidak sesuai dengan kehendak kita cepat benar kita melenting, cepat benar kita mengomel sana dan sini. Seperti kita ini tak boleh nak diarah-arah, saya terfikir apa sebabnya?

Mungkin kita tidak banyak belajar dengan orang seperti Ceu ceu, orang susah yang tahu membawa diri dalam apa jua situasi. Mungkin Ceu ceu bukan orang yang berpelajaran dan mempunyai IQ yang tinggi seperti kita, tapi cara adaptasi dan kreativiti dia menyebabkan saya mengaguminya dan rasa malu dengan diri sendiri. Anda bagaimana?

Hubungan Antara Adam dan Hawa

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 1/22/2012 06:35:00 AM

0

 
 
Sedang makan di luar bersama rakan-rakan setelah berhempas-pulas menghadapi ujian. Datanglah dua orang residen, lelaki dan perempuan duduk di tepi kami. Residen perempuan adalah residen semester 1 radiologi dan lelaki residen semester 5 bedah. Berborak dengan mereka, baru tahu mereka sebenarnya suami isteri

Melihat karakter kedua mereka, ternyata si isteri lebih banyak bercakap dan ramah. Saya mengenali suaminya sewaktu di bedah, memang orangnya agak lembut, pendiam dan jarang berbicara. Hati bertanya, "Mengapa mereka berdua boleh bernikah walaupun sifat kedua berbeza bagai langit dan bumi?"

Manusia ini banyak maunya, jika ditanya setiap individu, pasti setiap satunya punya kemauan yang berbeza. Akan tetapi mungkin ramai yang terlupa.. bahawa percaturan Allah sungguh cantik untuk hamba-Nya.... Dia tidak akan memberi apa yang kita MAHUKAN, tetapi memberikan kita apa yang kita PERLUKAN.

Seperti hubungan suami isteri, jarang kita lihat pasangan yang keduanya punya sifat yang sama, pasti akan kontradik antara satu sama lain. Mengapa demikian?

Saya suka mengambil tweet seorang rakan saya "when your weakness is his/her strength, when your strength is his/her weakness, he/she is the one".

Saling melengkapi dan saling memerlukan... itulah yang membuatkan hubungan suci ini kekal hingga hayat di kandung badan...

Bila Bercerita Soal Rezeki..

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 1/20/2012 04:59:00 PM

0

 
 
Suatu ketika teringin sangat hendak membeli aiskrim batang berperisa coklat, dalam perjalanan pulang ke hospital tanpa disangka bertemu dengan pak cik penjual aiskrim, terus minta satu, ternyata hari itu aiskrim perisa coklat habis, belilah yang berperisa mangga. Dalam perjalanan masih lagi kefikiran, tak disangka jumpa lagi penjual aiskrim yang lain, minta lagi yang sama.. tetap yang berperisa coklat tidak ada..beli aiskrim mangga kali kedua..

Sama juga ada suatu hari ingin makan pisang aroma.. pulang ke rumah sanggup berjalan pulang untuk beli pisang aroma dekat dengan rumah, lagi sikit jek nak sampai, kebetulan bertemu rakan yang membawa motor ajak naik sekali pulang ke rumah.. hanya melihat sahaja gerai mak cik penjual pisang aroma di atas motor...

Pernah satu lagi, ingin membeli papan kayu buat tempat letak printer, cari punya cari tak pernah jumpa, dah putus asa mencari, berhenti mengharap.. satu hari dalam hati terdetik nak cari juga, baru beberapa minit berjalan menelusuri Jalan Sukajadi, di depan mata terjumpa papan kayu itu, terus beli dan bawa pulang..

Bila bercerita soal REZEKI, kadang kala ia datang tanpa disangka, kadang kala walaupun ada di depan mata kita tetapi tetap jika rezeki bukan kepunyaan kita, bagaimana kita mahu pun tetap tidak akan kita peroleh. Rezeki adalah ketentuan-Nya, kita usaha dan tawakkal, tak dapat juga percayalah Allah punya perancangan yang lebih baik buat kita...

Politik Dan Agama

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in , | Posted on 1/19/2012 08:46:00 PM

4

 
 
Saya masih teringat waktu kecil-kecil yang seronok.. apabila ustaz dan ustazah mengajar kami apa itu Islam, buka mata kami mengenai Islam yang sebenarnya. Diajarnya kami cara solat, doa-doa lazim, sedikit hukum hakam agama, akhlak menjadi seorang Islam yang baik dan pelbagai lagi.

Bila ingat kembali ustaz ustazah bertengkar kecil sesama mereka, berbeza pendapat mengenai cara solat yang betul, masing-masing punya cara masing-masing tapi dua-dua mereka tidaklah salah, ingat sahaja tergelak..Ustaz ustazah ku berusaha untuk mengajar kami yang terbaik dalam kami mengenal Islam..

Sekarang sudah meningkat dewasa, sesuatu yang baru dipelajari, agama ini banyak yang dikaitkan dengan politik, tidak kira apa sahaja isu berkaitan agama.. pasti ada politik terkait sama, perbezaan agama mengikut fikrah politik seseorang, kadang-kala padangan berkenaan agama itu terkongkong dengan fikrah yang dipilihnya. Aneh...ingatkan Islam ini seperti Islam yang saya pelajari waktu kecil dulu..rupanya salah sangkaan, besar pula tu...

Agama dan politik tidak boleh dipisahkan? Pandangan ini tidaklah saya nafikan sepenuhnya, cuma apa yang diperhatikan politiknya yang lebih ditonjolkan daripada agamanya, hinggakan terkeluar dari isu yang asal yang dibangkitkan..boleh kita lakukan demikian? Atau kerana politik dan agama tidak terpisahkan?

Agama dan politik, mana batasnya? Yang mana diutamakan? Setiap individu punya berbeza pendapat mengenai perkara ini. Yang bijak menilai patut tahu agama kah atau politiknya kah yang patut kita junjung hingga hayat di kandung badan...

p/s: Beberapa pandangan mengatakan Rasulullah juga BERPOLITIK.. soalan saya adakah cara politiknya Rasullah seperti politik sekarang ini? Atau sebenarnya apa yang Rasulullah lakukan adalah BERDIPLOMASI?