VVIP BLOG INI

Pernyataan Rasmi PKPMI: Pelajar Ambil Risiko Sewa Rumah Murah Kerana Kos Sara Hidup Tinggi Di Jakarta

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 2/14/2012 05:58:00 am

Oleh Ahmad Fuad Yahya


JAKARTA, 13 Feb (Bernama) -- Kejadian bumbung runtuh di rumah sewa yang didiami 11 mahasiswi Malaysia di Grogol, Jakarta Utara tengah malam Sabtu seharusnya membuka mata pihak penaja mengenai keperluan yang sangat mendesak untuk menaikkan elaun pelajar tajaan mereka.


Inilah pandangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Di Indonesia (PKPMI) mengenai peristiwa itu, kerana kadar elaun pada masa ini hanya memampukan pelajar Malaysia di Jakarta khususnya, menyewa rumah yang kurang terjamin keselamatannya.


"Daripada kajian yang telah kami lakukan, didapati bahawa rumah tersebut sememangnya tidak dijamin dari segi keselamatan, yang mana tiang penyangga kayu, bahagian hadapan bumbung rumah itu telah reput dan dinding-dinding rumah yang tidak kukuh.


"Bagaimanapun, pelajar Malaysia berkenaan menyewa juga rumah berkenaan kerana itu adalah rumah yang termurah di kawasan mereka dan harga tersebut adalah yang termampu untuk mereka bayar setiap bulan," kata Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin, Yang Dipertua PKPMI Pusat di sini, Isnin.


Mahasiswi Malaysia yang terlibat dalam kejadian tengah malam Sabtu itu terdiri daripada lapan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tiga pelajar tajaan Mara, yang sedang menuntut di Universiti Trisakti, Jakarta Utara.


Khairul Hafidz berkata antara faktor mengapa mereka mengambil keputusan untuk menyewa rumah itu ialah bahawa kos sara hidup di Jakarta yang semakin meningkat setiap tahun yang telah mencengkam kehidupan pelajar-pelajar tajaan.


Sebagai contoh, pelajar Nor Ubudiah Seti membayar RM230 sebulan untuk menyewa sebuah bilik di rumah itu, sedangkan untuk menyewa bilik di rumah keadaannya lebih baik kadarnya ialah RM350 sebulan. Pada umumnya sewa sebuah bilik di Jakarta ialah antara RM400 dan RM500 sebulan.


Yang Dipertua PKPMI itu berkata kos sara hidup bukan sahaja meningkat di Jakarta tetapi di seluruh Indonesia dan sejak lima tahun lepas ia telah meningkat dua kali ganda.


"Anggapan bahawa kos sara hidup di Indonesia lebih murah adalah tidak tepat memandangkan negara ini kurang memberi subsidi kepada barang-barang keperluan harian selain lemahnya pengawasan terhadap harga barang-barang kawalan.


"Oleh itu, kami PKPMI sekali lagi memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara untuk mempertimbang semula elaun sara diri mahasiswa tajaan JPA dan Mara," katanya.


Beliau berkata kali terakhir kajian semula elaun sara hidup pelajar tajaan adalah pada tahun 2006 dan untuk mengkaji semula elaun itu di Indonesia setelah 6 tahun adalah sesuatu yang berasas dan wajar.


PKPMI, katanya telah menghantar satu kertas cadangan kepada JPA, yang turut menyertakan hasil kajian persatuan itu tentang kos tempat tinggal, kos pengangkutan dan harga barang keperluan harian di seluruh Indonesia, namun hingga sekarang belum belum mendapat maklum balas.


Antara lain, PKPMI telah mencadangkan supaya JPA dapat menghantar satu pasukan pegawai ke Indonesia untuk membuat penilaian terhadap kos yang perlu ditanggung mahasiswa tajaan di beberapa tempat di Indonesia agar mereka lebih memahami isu yang membelenggu pelajar-pelajar tajaan di Indonesia selama ini.


"Pelajar tajaan tidaklah mengharapkan peningkatan elaun sara hidup yang terlalu banyak, yang diharapkan ialah JPA dapat merangka satu elaun sara hidup yang baru, yang dapat menampung keperluan mereka di sini agar pelajar tajaan dapat menjalani waktu perkuliahan mereka tanpa terlalu memikirkan beban yang perlu
ditanggung setiap hari," katanya.




-- BERNAMA

Comments (0)