VVIP BLOG INI

Artikel Saya Yang Disiarkan Di BERNAMA, Utusan Online Dan Berita Harian "Kerajaan Disaran Hantar Pelajar Perubatan Ke Indonesia"

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in , | Posted on 6/05/2011 08:30:00 pm



JAKARTA 4 Jun — Kerajaan disaran supaya menghantar lebih ramai pelajar untuk mengikuti bidang perubatan di Indonesia yang kosnya lebih murah.


Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat berkata langkah kerajaan mengurangkan penghantaran pelajar biasiswa ke Indonesia terutamanya untuk kursus bidang perubatan sejak dua tahun yang lalu, harus dipertimbangkan kembali dengan mengambil kira faedah jangka panjang kepada negara.


"Ada beberapa alasan mengapa pihak kerajaan boleh menimbangkan penghantaran pelajar ke Indonesia, pertama, menghantar pelajar dalam bidang perubatan ke Indonesia masih jauh lebih murah jika dibandingkan dengan penghantaran pelajar ke negara seperti United Kingdom (UK) dan Ireland,” kata Yang Dipertua PKPMI Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin.


Dalam satu kenyataan, beliau berkata belanja untuk menghantar pelajar ke UK dan Ireland misalnya ialah kira-kira RM1 juta paling kurang, manakala belanja menghantar pelajar ke Indonesia hanya memerlukan kos sebanyak RM300,000 hingga RM400,000 seorang.


"Oleh itu, kerajaan boleh mengurangkan satu per tiga kos penghantaran pelajar ke luar negara atau boleh memberikan tiga kali lebih banyak peluang kepada pelajar Malaysia yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya. 


Selain itu, katanya penyakit yang ada di Indonesia hampir sama dengan yang ada di Malaysia iaitu kebanyakannya adalah penyakit tropikal dan jangkitan menular. 


Khairul Hafidz berkata pelajar perubatan juga akan lebih berpengalaman dalam latihan klinikal kerana kebanyakan pesakit di Indonesia memberikan kerjasama sangat baik untuk mereka memeriksa dan membuat diagnosis.


"Begitu juga dalam bidang lain seperti kedoktoran gigi, kedoktoran haiwan, farmasi, jurusan agama, pertanian dan perikanan. Mereka diajar oleh pensyarah-pensyarah terbaik dalam bidang masing-masing dan tidak akan kalah dengan pelajar universiti lain di mana-mana negara pun,” katanya. - Bernama

Comments (0)