"Ceritalah Indonesia" oleh Journalist Antarabangsa Karim Raslan. INDONESIA-MALAYSIA BERSATU! HARAPANKU!
Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in Indonesia , Malaysia | Posted on 5/30/2011 08:22:00 pm
Salam,
Hari Sabtu lepas, Bandung telah didatangi oleh seorang journalist yang tidak asing lagi di dalam profesinya. Seorang yang telah menempa namanya di persada antarabangsa, merupakan columnist The Edge dan terlibat aktif dalam drama serta teater. Karim Raslan, nama besar dalam journalist telah menulis sebuah buku 'Ceritalah Indonesia'. Beridentitaskan tukang cerita, beliau datang ke Indonesia dan mendengar cerita-cerita dari golongan bawah hinggalah golongan atasan mengenai Indonesia. Beberapa aspek yang telah disentuh iaitu mengenai seni, politik dan juga agama.
Tidak disangka, sebuah pengajian tinggi di Indonesia yang terkenal dengan pelajar ala tentera, memakai baju tentera walaupun keluar dari kampus dan menjalani latihan tentera setiap pagi. Institut itu adalah Institut Pengajian Dalam Negeri (IPDN). Aku masih teringat jam 5 pagi pasti aku mendengar suara nyanyian pelajar di sana sambil berjoging di sekitar kawasan Jatinangor. Kuat suaranya hingga boleh menggerakkan aku yang lena tidur.
Mereka telah menjemput saudara Karim dalam membedah karyanya di depan semua peserta program. Malam sebelum program telah mendapat sms daripada PKPMI cawangan Bandung yang memberitahu kedatangan beliau ke bumi Jatinangor dan aku mengambil keputusan untuk turut serta. Saudara Karim dengan loghatnya sudah seperti loghat Indonesia menjelaskan isi kandungan buku tersebut kepada semua peserta.
Tibalah waktu soal jawab, dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh peserta. Baru sahaja moderator membuka peluang untuk peserta bertanya, penuh tangan yang mengacung. Inilah yang menjadi kekaguman aku orang di sini. Mereka berani untuk bertanya, mereka tidak malu untuk memberikan pendapat. Bagaimana dengan orang kita?
Soalan demi soalan ditanyakan, dan soalan yang ditanyakan adalah soalan yang selalu aku dengar. Sudah pasti fokus soalan tersbut mengenai hubungan bilateral Malaysia-Indonesia. Isu claim, isu terrorist, isu media dan yang paling menarik hati aku adalah isu demokrasi di Malaysia.
Ada yang menanyakan kepada saudara Karim mengapa tiada pemilihan walikota di Malaysia (yang menjaga setiap bandar). Mereka tidak memahami bagaimana pilihan raya di Malaysia yang hanya langsung memilih ahli parlimen.
Memang sistem demokrasi Malaysia dan Indonesia berbeza. Aku merasai PEMILU (Pemilihan Umum) di sini. PEMILU mereka dibahagikan kepada dua peringkat. Kali pertama adalah pemilihan partai. Dan partai yang berjaya memungut sejumlah peratus suara rakyat akan dipilih untuk memilih calon dari partai mereka untuk Pilihan Raya Presiden.
Sebagai contoh PEMILU kelmaren, dari beberapa puluh partai di Indonesia yang mendaftarkan diri untuk PEMILU kali pertama, antara partai dengan suara tertinggi rakyat adalah Partai Demokrat, Golkar, PDIP, PKS, Hanura dan Gerindra. Partai ini memilih calon mereka atau kebanyakan mereka bergabung untuk membentuk koagulasi. (Mungkin aku akan buat satu artikel mengenai PEMILU, mahu cerita di sini memang panjang)
Dan berbeza dari kita Malaysia yang menggunakan sistem ADUN dan Ahli Parlimen. Sistem berbeza akan tetapi tetap setiap lapisan masyarakat di Malaysia terjaga.
Aku sendiri telah memberikan pendapat dalam program tersebut. Sudah pasti apabila suasana memanas di Indonesia, yang paling menerima kesan adalah pelajar kita di sini. Sepanjang pemerhatian aku di Indonesia, beberapa faktor yang menjadi penyebab masalah ini terus berkelanjutan. Faktor kurang komunikasi dan pemberitahuan, kurang diskusi ilmiah antara dua negara, faktor media dan yang paling penting adalah adanya orang ketiga yang cuba untuk melagakan kedua negara.
Walaubagaimanapun, kami beruntung, bahawa tidak semua rakyat mereka begitu, banyak yang boleh berfikir secara rasional mengenai isu ini. Saudara Karim menyatakan bahawa satu hari nanti Malaysia memerlukan Indonesia dan aku tidak fikir itu satu pendapat yang salah. Dengan populasi Indonesia yang setakat ini hampir mencecah 250 juta. Bayangkan jika kedua negara saling memanfaatkan antara satu sama lain. Dan setakat yang aku lihat, ada pihak yang tidak suka dua negara makin makmur, dirosakkan dan dipecahbelahkan hubungan ini dan mereka mula menangguk air yang keruh.
Aku di sini lebih dari 5 tahun, semakin aku mendekati mereka, semakin aku mengagumi mereka. Semangat mereka, usaha mereka, idealisme mereka dan hati nurani mereka. Alangkah ruginya jika kami di sini tidak menerapkan apa yang baik untuk membentuk peribadi kami.
Jangan memperkecilkan orang, kerana belum tentu kita ini baik. Jangan memandang serong mereka kerana kita juga belum pasti benar segala segi. Marilah kita sama-sama membuka hati dan minda untuk saling belajar di antara satu sama lain. Segala salah tangkap dan salah faham boleh diluruskan jika kita saling mendengarkan.
Carilah TITIK PERSAMAAN antara kita bukannya sibuk mencari PERBEDAAN, kerana itulah KUNCI KESATUAN.
INDONESIA-MALAYSIA BERSATU!! HARAPANKU!!
post yg menarik!!
hebat! tulis psl pemilu ya...
Cari titik persamaan, bukan...perbedaan! Syabas!