VVIP BLOG INI

THIS IS MY GENERATION! What Is Yours?

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/27/2012 07:48:00 am

0

Salam,

Melihat video di bawah ini adalah satu gambaran mengenai generasi kami. Kami tiada handphone, kami tiada Play Station, kami tidak punya I-Pad III, kami tidak tahu apa itu internet, apa yang kami ada kreativiti dalam kami mencipta satu-satu permainan.

Melihat anak-anak zaman sekarang, yang terlampau bergantung kepada teknologi, apakah ini akan mempengaruhi minda dan personaliti mereka? Apakah generasi mereka dapat kita harapkan menjadi pelapis negara? Tanggungjawab generasi sebelumnya untuk memandu mereka ke arah jalan yang harus mereka lalui..

THIS IS MY GENERATION...


Pak Jokowi: Walikota Solo Yang Tidak Pernah Mengambil Gajinya

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/20/2012 06:20:00 pm

0

Salam,









Sosok Pak Joko Wibowo memang telah banyak menambat hati orang-orang yang mengenalinya, seorang peniaga yang akhirnya memilih menjadi Walikota Solo, yang telah banyak mengubah Kota Solo dan memberikan khidmat yang luar biasa kepada masyarakat di sana.


Hebatnya beliau apabila tidak pernah sekali mengambil wang gaji beliau kerana beranggapan bahawa wangnya sebagai peniaga telah mencukupi menampung kehidupan keluarga. Keserdehanaan beliau di dalam khidmat beliau sebagai wali kota, tidak betah di dalam pejabatnya tetapi keluar dan bertemu dengan rakyat menggunakan kenderaan usang milik pejabat yang tidak pernah ditukar beliau. Jangan cuba-cuba untuk memberi rasuah kepada beliau kerana tidak sekali-kali beliau akan menerimanya. Akhirnya pada pemilihan kali kedua wali kota buat beliau, berjaya meraih undi sebanyak 91% tanpa mengeluarkan sedikit wang pun!!


Pasti tiada yang percaya di Indonesia masih ada pemimpin seperti ini tetapi itulah Pak Jokowi, kebanggaan rakyat Solo. Akhirnya kita berfikir, apakah akan wujud pemimpin seperti ini di negara kita?


Nasihat Pak Jokowi dalam memimpin, pendek dan mendalam sekali, "JANGAN ADA PUNYA KEPENTINGAN (untuk diri sendiri)"






Link Untuk Mendengar Perbahasan Di Parlimen Malaysia. Peluang Rakyat Untuk Menilai Hujah Dan Fakta

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/19/2012 12:13:00 pm

0

Salam,




Buat mereka yang berminat untuk mendengar perbahasan di Parlimen, beberapa link di sini boleh kalian ikuti:


TVKedah: KLIK SINI

Selangorku : KLIK SINI

Dewan Rakyat Live : KLIK SINI




Perbahasan di Parlimen terbahagi dua sesi

Pagi: 10.00 am - 1.00 pm (Sesi Soal Jawab dan seterusnya disambung sesi perbahasan titah Agong)

Petang: 2.30 pm - 5.30 pm (tergantung kepada YDP Dewan)


Saya mengalu-alukan kepada semua untuk mendengar sendiri perbahasan di Parlimen supaya kalian dapat dengar sendiri isu semasa dan waktu yang sama menilai apakah fakta yang dibawa oleh semua YB adalah tepat atau separuh benar. Ini peluang kita sebagai rakyat nilai, gunakan peluang ini.

#MyIdea: "1DayCare 1Neigborhood", Solusi Masalah Ketergantungan Pengambilan Pembantu Rumah

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/19/2012 10:07:00 am

0

Salam,



Saya berminat dengan satu isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang mengenai peningkatan biaya pembantu rumah. Untuk isu ini, saya berpendapat bahawa kerajaan boleh mengambil satu insiatif untuk membantu mengurangkan ketergantungan rakyat kepada pembantu rumah dari luar.


Saya mencadangkan agar satu program “1Day-Care 1Neighborhood” sebagai salah satu langkah proaktif dalam mengurangkan ketergantungan rakyat. Ia sesuai dengan dasar kerajaan yang memerintah.


Say a melihat antara yang menjadi penyebab utama mengapa pembantu rumah diperlukan adalah kerana keselamatan anak-anak yang ditinggalkan di rumah oleh kerana kedua-dua ibu bapa mencari nafkah di luar.  Makanya perlu satu formula dari kerjaan memerintah untuk menangani isu ini.


Untuk program ini, beberapa kementerian boleh ambil tanggungjawab ini seperti Kementerian Sumber Manusia atau Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Inisiatif kementerian adalah untuk buka dan sediakan perkhidmatan tersebut. Ini tidaklah bermakna ianya percuma, perkhidmatan disediakan dan keluarga juga perlulah membayar juga untuk menampung kos.


Penjaga anak-anak di dalam day care tersebut boleh dilatih secara professional dan waktu yang sama daripada kementerian berkaitan merangka satu program yang baik yang memikirkan mengenai pertumbuhan dan sahsiah anak-anak yang dihantar. Untuk elakkan anak-anak yang dihantar diabaikan, penjaga boleh ditambah dari masa ke masa sebagai contoh kuota 5 anak untuk satu penjaga. 


Antara program untuk day care di samping menjaga anak adalah membuat evaluasi mengenai  pertumbuhan dan sahsiah anak sebagai contoh imunisasi, perkembangan tumbuh kembang dan program moral serta agama ikut agama masing-masing. Perancangan serampang dua mata, boleh bantu keluarga untuk bentuk peribadi anak yang lebih baik sejak kecil.


Program seperti ini juga boleh elakkan daripada terjadinya kes-kes yang tidak kita ingini yang sering berlaku dalam kes pembantu rumah yang diambil.

Kementerian yang berkaitan boleh bekerjasama dengan JKK setiap kawasan untuk mencari tempat yang sesuai untuk membuat day care dan mendengar pendapat JKK setempat untuk mencadangkan nama yang sesuai menguruskan day care tersebut.


Saya selalu memikirkan, mengapa kerajaan selalu mengambil pembantu dari luar untuk selesaikan masalah ini? Apakah tiada orang kita yang berminat? Saya berpendapat pasti ada. Yang penting pendedahan, penganjuran dan kursus yang sesuai untuk program ini. Kita tidak perlukan mereka yang punya kelayakan yang tinggi untuk menjadi penjaga anak, cukuplah mereka yang punya minta. Yang penting adalah satu kursus intensif dan pembinaan attitude penjaga anak-anak , mereka yang benar-benar boleh memberikan khidmat yang terbaik bukan sambil lewa. Jangan takut tidak mendapat sambutan, pengalaman saya melihat bukanya day care yang terorganisasi seperti ini banyak yang mahu, seharusnya yang merancakkannya adalah kerajaan memerintah.


Bayangkan dengan dianjurkan program seperti ini, berapa banyak peluang pekerjaan buat rakyat kita sendiri? 5,000-10,000? Sudah cukup banyak untuk bantu rakyat kita sendiri. Mengapa tidak dicuba?


Dari mencari sumber manusia di luar, seharusnya strategi kerajaan adalah memaksimalkan sumber manusia dalam negara. Saya yakin program ini akan memanfaatkan banyak pihak. Dana SERATUS JUTA untuk program seperti ini? Rancang dan buat dengan baik, lihat 5 tahun akan datang, pasti hasilnya baik. Saya yakin...

Hati-hati Pengguna Facebook..

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/14/2012 09:59:00 pm

2

  Salam,

Beberapa perkara yang saya takuti apabila semakin ramai yang menggunakan laman media sosial dan media baru seperti Facebook salah satunya adalah tersebarnya gambar-gambar dan video-video yang tidak sepatutnya sebagai contoh gambar dan video ngeri yang berkaitan dengan kemalangan, perperangan dan lain-lain lagi.


Ini pada pandangan saya adalah satu perkara yang sangat bahaya antara kita semua sedar atau tidak.


Untuk hal seperti ini, ada di antara pengguna laman sosial ini sudah terbiasa kerana sudah punya pendedahan yang cukup lama atau mereka yang punya profesi yang berkaitan dengan hal-hal seperti itu sebagai contoh doktor, perawat, tentera dan ahli forensik. Namun begitu tidak semua yang punya kekuatan mental dan kesiapsediaan untuk melihat atau menonton hal seperti itu, apa lagi ianya bukanlah atas kemahuan mereka kerana secara sendirinya terpapar di wall post masing-masing.


Apa yang saya lebih takutkan lagi dan sering kita lupa juga yang bahawa bukan tahap umur kita sahaja merupakan pengguna laman sosial, banyak juga pengguna adalah kanak-kanak yang bagi saya secara psikologinya mereka masih belum kuat untuk menerima input seperti ini. Interpretasi mereka tidak semestinya sama seperti orang dewasa. Akal mereka masih tidak boleh memproses satu-satu maklumat secara tuntas dan akhirnya ini boleh mempengaruhi dan mengubah personaliti dan persepsi mereka tanpa sedar.


Apakah input seperti ini mendorong mereka melakukan perkara yang tidak diingini di kemudian hari seperti yang kita lihat di negara kita sekarang? Wallahu'alam. Kita harapkan jangan...


Oleh itu, saya berharap hati-hati apabila kita mula untuk mengeluarkan apa sahaja bahan di laman sosial. Permainan laman sosial ini sebenarnya sangat bahaya dan yang boleh mengawalnya adalah kita sebagai pengguna. :)
 

Perang Persepsi: Timbang Tara Benar Dan Salah

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/12/2012 07:41:00 pm

0

Salam,



  

Di dalam suasana politik di Malaysia sekarang, Perang Persepsi adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Pelbagai maklumat disalurkan dan pelbagai isu dimainkan serta ditimbulkan supaya persepsi di kalangan rakyat ini terbentuk, apakah persepsi yang terbentuk ini adalah satu persepsi yang baik ataupun tidak.


Apa yang salah adalah apabila ada di kalangan mereka sangat tidak bertanggungjawab dengan memberikan maklumat-maklumat yang tidak benar atau separuh benar kepada yang mendengar. Mereka tidak peduli jika ianya tidak betul, yang penting ianya memihak kepada kelompok mereka dan berjaya membuatkan mereka yang mendengar menyalahkan pihak yang satu lagi. Apabila terbukti maklumat yang diberikan itu salah, tidak bertanggungjawabnya mereka apabila mereka tidak cuba untuk membetulkan kembali informasi tersebut, biarkan ianya dihadam oleh pendengar dan tersebar dengan sendirinya. Jika yang tahu salah biarlah tahu, tetapi mengapa perlu untuk diberitahukan kepada mereka yang tidak tahu? Biarkan sahaja maklumat itu disebar luas


Sebagai pendengar yang menerima maklumat. Jadi se-objektif mungkin, apabila menerima satu-satu maklumat, jangan menerima bulat-bulat, cari juga maklumat-maklumat dari sumber yang berbeza untuk kita sahkan bahawa informasi yang kita dengar dan dapat itu benar. Masalah daripada pendengar apabila tidak mahu melakukan proses timbang tara tersebut. Maka, persepsi yang dibina adalah berdasarkan maklumat yang salah.


Sepanjang saya tinggal di Indonesia, saya dapat melihat bagaimana satu-satu maklumat itu dimanipulasikan. Dengan kekuatan dan kebebasan media di Indonesia yang mana kuasa media ini dipimpin oleh beberapa politik tertentu, satu-satu informasi itu dimainkan dan dibesar-besarkan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap sesuatu. Saya yakin rakan-rakan yang berada di Indonesia pernah merasai sendiri permainan persepsi di sini dan seharusnya rakan-rakan di Indonesia adalah orang yang lebih matang dalam memilah adakah maklumat itu benar atau tidak.


Tanggungjawab kita? Dengar semuanya, jangan cepat melatah, kaji dahulu adakah ianya benar atau tidak. Insyaallah persepsi yang dibina adalah persepsi yang tepat menggunakan akal fikiran yang matang dan bukan berlandaskan emosi semata-mata.

Debat: Platform Baru Dalam Menongkah Ke Arah Politik Dan Demokrasi Baru

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/06/2012 08:51:00 pm

0

Salam,

Di dalam negara masa kini timbul satu gelombang di mana debat mula menjadi popular. Bagi saya ini adalah satu perkara yang positif dan progresif, panel-panel dari kalangan pemimpin politik, aktivist dan ahli akademik dapat memberikan pandangan dan idealisme mereka di dalam satu-satu isu yang dibawa dan dibincangkan.


Saya telah melihat bagaimana Indonesia telah ke depan menggunakan debat sebagai platform untuk melontarkan pandangan mereka. Dari situ, rakyat yang mendengar dapat menganalisis, mengkaji dan menilai satu-satu isu yang dibawa.


Persoalannya adalah, apakah rakyat Malaysia telah bersedia untuk menggunakan medan ini sebagai satu medium percambahan ilmu dan memberikan pandangan secara matang dan bijaksana? Dan apakah rakyat yang mendengar dapat menganalisis dan menilai satu-satu isu itu secara adil dan tidak memihak membuta tuli? Itu yang harus kita gali dan fikirkan


Debat adalah satu medan yang sepatutnya diangkat dan diraikan. Ini adalah peluang dan ruang panel-panel yang dipilih memberikan pandangan profesional dalam profesi dan bidang mereka.


Seharusnya platform debat ini sendiri harus punya matlamat dan objektif yang lebih jauh. Bukan hanya sekadar panel terpilih memberi pandangan dan rakyat mendengar dan berhenti setelah tamat sesuatu debat.


Seharusnya debat ini adalah satu medium untuk kita menyiapkan rakyat dalam rakyat bersedia untuk melangkah ke arah politik baru, ke arah demokrasi baru yang mula dibawa oleh semua pihak. Apabila kita berbicara mengenai soal politik dan demokrasi baru, kita membayangkan bahawa rakyat punya kefahaman, kebijaksaan dan ilmu yang cukup dalam memberikan pandangan dan dalam menerima serta menolak sesuatu pendapat. Debat adalah wacana di mana kematangan adalah faktor utama yang perlu diterapkan. Mudah kata, nak berdebat perlu dengan ilmu yang cukup, bukan hentam keromo sahaja.


Tun M mengatakan rakyat masih belum bersedia, saya bersetuju, tetapi ini kerana debat hanya untuk platform kepada orang-orang tertentu sahaja bukan digunapakai oleh semua orang. Seharusnya rakyat harus mula membiasakan diri dengan debat, di mana-mana, dalam isu apapun, apakah ianya isu politik, isu semasa, isu ekonomi, pembangunan mahupun isu alam sekitar, gunakan platform debat. Akhirnya, rakyat menjadi lebih matang dalam menilai dan mula melengkapkan diri dengan ilmu. Tidak seperti kita lihat sekarang, jika rakyat masih lagi tidak mahu mengubah mentaliti dan pemikiran, maka kata Tun M benar, rakyat masih lagi tidak bersedia untuk berdebat.


Jangan hanya kita tunggu debat DS Najib dan DSAI sahaja, apakah hanya pemimpin politik punya hak untuk gunakan platform ini? Kita juga punya hak untuk menyuarakan pendapat, platform ini lah yang terbaik.

Kita sebagai orang muda dan belia? Selalu mendengarkan mana-mana forum atau debat yang dianjurkan, mula untuk kritis untuk memberikan pandangan, atau paling tidak ajak rakan-rakan untuk berdebat dalam sesuatu isu dengan tidak melupakan tatakrama dalam perdebatan. Yang kita cari bukan BETUL bukan SALAH, yang kita mahukan mencari di mana titik temu dan penyelesaian masalah.

Hasil Daripada Perbincangan Dengan Seorang Pengarah di JPT Mengenai Graduan Dari Indonesia

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/05/2012 11:51:00 pm

1

Salam,

Sewaktu pulang ke Malaysia tempoh hari, saya sempat bertemu dengan seorang Pengarah di Jabatan Pengajian Tinggi di Putrajaya, seorang profesor di dalam bidang perubatan. Dalam pertemuan itu, kami berbincang mengenai pandangan JPT dan MMC mengenai graduan perubatan dari Indonesia


Secara keseluruhannya, apa yang dapat saya tangkap adalah, mereka mempunyai persepsi yang kurang baik terhadap graduan dari Indonesia. Bagi mereka graduan perubatan dari Indonesia tidak mencapai kualiti seperti mana yang mereka harapkan.


Beberapa isu yang dapat saya tangkap daripada beliau mengenai persepsi kurang baik mereka kepada graduan dari Indonesia:


1. Teknologi perubatan di Malaysia jauh lebih maju daripada Indonesia
2. Masalah dengan sistem pentadbiran kementerian kesihatan dan universiti yang bagi JPT dan MMC susah untuk dibawa berbincang
3. Kurangnya waktu klinikal di Indonesia, dari JPT dan MMC mencadangkan 120 minggu dan pihak universiti dari Indonesia tidak dapat memenuhi permintaan mereka
4. Pihak Indonesia tidak membenarkan pelajar Malaysia untuk menduduki UKDI yang bagi mereka adalah perlu untuk graduan dari Indonesia duduki.
5. Masalah bahasa, Malaysia menggunakan Bahasa Inggeris dalam semua terminologi perubatan
6. Masalah membentangkan kes kepada MO dan spesialis
7. Prosedur pengubatan pesakit hospital di Malaysia adalah berbeza dengan di Indonesia

Bagi saya, setelah mendengar segala isu daripada pengarah tersebut, apa yang saya dapat simpulkan adalah beliau memberikan pendapat secara umum dan mungkin ada beberapa peristiwa yang pernah dilalui oleh beliau sehingga beliau punya persepsi seperti ini.

Saya melihat segala masalah yang berlaku ini terbahagi kepada dua isu besar iaitu isu susahnya mereka mahu berbincang dengan pihak pentadbiran di Indonesia dan kedua terdapat perbezaan sistem antara dua negara.

Saya serahkan kepada pihak JPT dan MMC untuk menyelesaikan isu pentadbiran, menggunakan kebijaksaan mereka untuk mencari titik temu dalam apa jua isu. Yang saya ingin tekankan di sini adalah isu perbezaan sistem antara dua negara.


Mengenai perbezaan sistem, dalam perbincangan ini setelah saya mendengar segala permasalahan, saya mencuba memberikan jalan penyelesaian kepada beliau. Say mencadangkan agar pihak JPT dan MMC dalam membuat satu program khas untuk semua graduan lepasan dari luar negara seperti program attachment terstruktur di mana di dalam program ini graduan dapat pendedahan mengenai terminologi dan susasana hospital di Malaysia.

Saya melihat dari segi ilmu dan praktikal kita graduan dari Indoensia, tidak tidak kalah berbanding pelajar dalam negara, akan tetapi masalah kita adalah dari segi menyampaikan ilmu kita dalam bahasa yang mereka mahukan iaitu Bahasa Inggeris. Cukup jika dibuat program selama 6 minggu, seminggu untuk satu bahagian untuk semua 6 bahagian besar di hospital, untuk graduan dapat membiasakan diri dengan keadaan hospital di Malaysia.

Mengenai UKDI dan minggu klinikal, ini patutnya tidak timbul kerana saya merasakan graduan dari Indonesia sudah diberikan pengalaman yang cukup, dan ini akhirnya tergantung kepada individu, adakah mereka mahu atau tidak ilmu tersebut. Jika isunya adalah masalah bahasa dan cara bentangkan kes kepada spesialis, tambahkan waktu klinikal juga adalah tidak relevan kerana kami tetap prosedur di Indonesia.

Mengenai teknologi, ini kita akui, akan tetapi itu boleh kami pelajari, isu yang lebih penting adalah pola fikir untuk kita mengdiagnosis yang perlu dibetulkan bukannya teknologi.

Saya akan terus berbincang dengan pegawai-pegawai di JPT dan MMC untuk kita selesaikan masalah. Tidak ada guna hanya cerita masalah, tetapi tidak mahu cari jalan penyelesaian. Dari pihak beliau juga mahu isu ini terus dibincangkan.

Walauapapun, apa yang saya minta kepada semua mahasiswa perubatan di Indonesia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memebetulkan kembali persepsi mereka. Saya yakin, bukan sahaja pengarah ini, tetapi banyak spesialis dan MO yang punya persepsi yang sama. Kita tunjukkan kepada mereka yang graduan yang ada sekarang bukan lagi seperti yang mereka fikirkan. Tunjukkan kepada mereka kita juga punya kualiti yang sama seperti graduan dari negara lain.

Jika cadangan yang saya berikan kepada beliau tidak dapat dilaksanakan, alternatif lain adalah sebelum bekerja, rakan-rakan boleh membuat attachment sendiri untuk pengalaman atau bertanya kepada rakan-rakan kalian yang telah bekerja di Malaysia. Yang penting sebelum bekerja kita telah punya modal, bukan kosong tidak tahu apa-apa

Kita belajar dengan baik, kita dapatkan pengalaman sebanyak-banyaknya. Insyaallah kita dipermudahkan.