VVIP BLOG INI

Debat: Platform Baru Dalam Menongkah Ke Arah Politik Dan Demokrasi Baru

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 3/06/2012 08:51:00 pm

Salam,

Di dalam negara masa kini timbul satu gelombang di mana debat mula menjadi popular. Bagi saya ini adalah satu perkara yang positif dan progresif, panel-panel dari kalangan pemimpin politik, aktivist dan ahli akademik dapat memberikan pandangan dan idealisme mereka di dalam satu-satu isu yang dibawa dan dibincangkan.


Saya telah melihat bagaimana Indonesia telah ke depan menggunakan debat sebagai platform untuk melontarkan pandangan mereka. Dari situ, rakyat yang mendengar dapat menganalisis, mengkaji dan menilai satu-satu isu yang dibawa.


Persoalannya adalah, apakah rakyat Malaysia telah bersedia untuk menggunakan medan ini sebagai satu medium percambahan ilmu dan memberikan pandangan secara matang dan bijaksana? Dan apakah rakyat yang mendengar dapat menganalisis dan menilai satu-satu isu itu secara adil dan tidak memihak membuta tuli? Itu yang harus kita gali dan fikirkan


Debat adalah satu medan yang sepatutnya diangkat dan diraikan. Ini adalah peluang dan ruang panel-panel yang dipilih memberikan pandangan profesional dalam profesi dan bidang mereka.


Seharusnya platform debat ini sendiri harus punya matlamat dan objektif yang lebih jauh. Bukan hanya sekadar panel terpilih memberi pandangan dan rakyat mendengar dan berhenti setelah tamat sesuatu debat.


Seharusnya debat ini adalah satu medium untuk kita menyiapkan rakyat dalam rakyat bersedia untuk melangkah ke arah politik baru, ke arah demokrasi baru yang mula dibawa oleh semua pihak. Apabila kita berbicara mengenai soal politik dan demokrasi baru, kita membayangkan bahawa rakyat punya kefahaman, kebijaksaan dan ilmu yang cukup dalam memberikan pandangan dan dalam menerima serta menolak sesuatu pendapat. Debat adalah wacana di mana kematangan adalah faktor utama yang perlu diterapkan. Mudah kata, nak berdebat perlu dengan ilmu yang cukup, bukan hentam keromo sahaja.


Tun M mengatakan rakyat masih belum bersedia, saya bersetuju, tetapi ini kerana debat hanya untuk platform kepada orang-orang tertentu sahaja bukan digunapakai oleh semua orang. Seharusnya rakyat harus mula membiasakan diri dengan debat, di mana-mana, dalam isu apapun, apakah ianya isu politik, isu semasa, isu ekonomi, pembangunan mahupun isu alam sekitar, gunakan platform debat. Akhirnya, rakyat menjadi lebih matang dalam menilai dan mula melengkapkan diri dengan ilmu. Tidak seperti kita lihat sekarang, jika rakyat masih lagi tidak mahu mengubah mentaliti dan pemikiran, maka kata Tun M benar, rakyat masih lagi tidak bersedia untuk berdebat.


Jangan hanya kita tunggu debat DS Najib dan DSAI sahaja, apakah hanya pemimpin politik punya hak untuk gunakan platform ini? Kita juga punya hak untuk menyuarakan pendapat, platform ini lah yang terbaik.

Kita sebagai orang muda dan belia? Selalu mendengarkan mana-mana forum atau debat yang dianjurkan, mula untuk kritis untuk memberikan pandangan, atau paling tidak ajak rakan-rakan untuk berdebat dalam sesuatu isu dengan tidak melupakan tatakrama dalam perdebatan. Yang kita cari bukan BETUL bukan SALAH, yang kita mahukan mencari di mana titik temu dan penyelesaian masalah.

Comments (0)