Lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin Ke Indonesia!!
Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in Malaysia , PKPMI , UMNO | Posted on 6/28/2010 03:00:00 pm
0
Salam,
Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) telah berbesar hati ke Indonesia atas kapasitinya sebagai Menteri Pendidikan. Beliau ke Indonesia untuk menyelesaikan masalah visa mahasiswa yang telah sedia maklum sangat membebankan. Sememangnya pertemuan dua hala ini boleh lah sedikit sebanyak mengurangkan masalah kami yang kuliah di sini.
Malam ini akan diadakan pertemuan di antara TSM dan juga mahasiswa yang belajar di Jakarta. Insyaallah aku juga akan ke sana untuk sama-sama mendengarkan nasihat dan amanat TSM kepada mahasiswa di Indonesia. Semoga pertemuan ini akan mendapat manfaatnya buat TSM dan juga kami pelajar.
JAKARTA, 27 Jun (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini Ahad untuk lawatan rasmi ke luar negara yang pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri, bagi memperkukuhkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
Pemilihan Indonesia sebagai negara pertama untuk lawatan rasminya selama tiga hari itu menunjukkan betapa rapatnya hubungan antara kedua-dua negara bangsa serumpun ini, sebagaimana yang telah juga diperlihatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengambil alih kepimpinan kerajaan.
Ketibaan beliau dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma disambut oleh Timbalan Menteri Luar Indonesia Triyono Wibowo.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan serta para pegawai kanan Kedutaan Besar Malaysia di sini turut sama menyambut ketibaan mereka di lapangan terbang.
Sepanjang tempoh di sini, Muhyiddin dijadual mengunjungi dan mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Boediono serta Menteri Pendidikan Nasional Muhammad Nuh mengenai pelbagai perkara, termasuk isu-isu dua hala.
Antara isu yang dijangka disentuh ialah pengeluaran dan penyambungan visa kepada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia iaitu untuk tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh dua tahun selama dua kali semasa mereka masih menuntut di sini (2+2+2).
Pada masa ini, pelajar Malaysia di Indonesia, yang majoritinya mengambil kursus dalam bidang perubatan, hanya diberikan visa untuk tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui setahun, setahun sebanyak tiga kali (2+1+1+1) di negara ini namun perlu pulang ke Malaysia selepas itu untuk mendapat visa setahun lagi bagi menamatkan pengajian mereka.
Muhyiddin juga dijadual mengadakan sesi meja bulat dengan para anggota Dewan Perniagaan dan Perdagangan Indonesia (Kadin) serta tokoh perniagaan tempatan dalam rangka meningkatkan hubungan pelaburan dan perdagangan Malaysia-Indonesia.
Selain menjadi hos kepada jamuan malam untuk pelajar dan masyarakat Malaysia di sini, Timbalan Perdana Menteri akan turut memberi syarahan bertajuk "Democracy and Social Responsibility in Asia" di Universiti Indonesia, Kampus Depok.
Muhyiddin juga akan berdialog dengan ketua-ketua editor media Malaysia dan Indonesia mengenai peranan media dalam usaha merapatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
-BERNAMA, 27 Jun 2010-
TSM!!!
Sekuan...