VVIP BLOG INI

Mahasiswa Di Acheh: "Gegaran Bumi Jadikan Saya Mual Dan Pening"

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 5/09/2010 05:59:00 pm

Salam,






JAKARTA, 9 Mei (Bernama) -- Gegaran bumi yang berlaku akibat gempa
berkekuatan 7.2 pada skala Richter di Meulaboh, Aceh telah menyebabkan
sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi yang sedang mengadakan aktiviti di
Pantai Ujong Batee, Banda Acheh turut menjadi cemas.

    Mereka termasuklah empat pelajar Malaysia yang menyertai 160 pelajar
Indonesia dari Institut Agama Islam Negeri, Ar Raniri, yang sedang menjalani
program Rehlah (Hari Keluarga) Fakulti Usuluddin institut itu di pantai
tersebut.

    "Waktu itu saya baru selesai makan tengah hari bersama beberapa rakan lain
dan nak ke masjid untuk solat, tiba-tiba sahaja kepala saya rasa pening. Tak
lama kemudian, bumi bergegar lebih kuat untuk kali keduanya dan pada masa itu
bukan sahaja rasa pening malah seperti nak termuntah pula," kata Abdullah Hakimi
Zainal Abidin.

    Abdullah Hakimi, 21, yang pertama kali mengalami kejadian gempa berkata
gegaran kedua itu menyebabkan rakan-rakan mereka yang lain turut cemas.
    "Mereka yang sedang mandi manda di laut, terus berlari naik ke daratan dan
tak berapa lama selepas itu, siren amaran tsunami turut dibunyikan di pantai
itu," katanya ketika di hubungi dari sini.
    -- LAGI

    GEMPA-PELAJAR 2 JAKARTA

    Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia yang
mengeluarkan amaran potensi tsunami berikutan kejadian gempa di kedudukan 66km
Barat Daya Meulaboh, Acheh pada pukul 12.59 tengah hari itu, telah menarik balik
amaran itu kemudiannya.

    Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda
diterima berikutan kejadian gempa itu.

    Abdullah Hakimi, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar
Malaysia di Indonesia cawangan Aceh, berkata selepas mendengar siren tsunami itu
beliau dan tiga rakan pelajar Malaysia meluru ke motosikal dan bergegas
meninggalkan kawasan pantai itu.

    Tiga lagi pelajar Malaysia yang ada bersama beliau pada masa itu ialah
Muhammad Muslim Amran, 20, Abdul Halim, 27, dan Syed Muzaffar, 24. Mereka telah
pergi ke pantai itu pagi ini menaiki dua motosikal.

    Pada masa yang sama Abdullah Hakimi berkata beliau juga telah dihubungi
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia Datuk Paduka Dr Junaidy
Abu Bakar yang menasihatkan mereka semua untuk segera meninggalkan kawasan
pantai berikutan amaran tsunami oleh pihak berkuasa Indonesia.
    -- LAGI

    GEMPA-PELAJAR 3 JAKARTA

    Pelajar jurusan ijazah Sarjana Muda Akidah dan Falsafah itu berkata, dalam
perjalanan pulang dari pantai itu beliau melihat ramai sekali penduduk Aceh
meninggalkan rumah masing-masing menaiki kereta dan motor sehingga jalan raya
menjadi sesak dengan lalu lintas untuk seketika kerana suasana pada masa itu
cemas sekali.
    Keadaan di Banda Aceh kembali normal sejak pukul 3 petang ini setelah
warganya mendapat berita penarikan balik amaran tsunami oleh pihak BMKG.

    Abdullah Hakimi berkata, pelajar-pelajar Indonesia yang ada bersama mereka
di pantai itu kurang cemas kerana sudah berpengalaman dengan beberapa gempa bumi
sebelum ini.

    Semasa dihubungi, beliau sedang berada di lapangan terbang untuk menyambut
ketibaan Pengarah Sukan Kementerian Pengajian Tinggi Dr Shaharuddin Ismail, yang
sememang dijadual sampai di Banda Aceh petang ini.


    Untuk sementara waktu ini, katanya kesemua pelajar Malaysia di institut itu
ditempatkan di rumah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan
Aceh di Darussalam sehingga Yang Dipertua persatuan itu mengeluarkan arahan
baru.



DOAKAN KESELAMATAN!!!



sekian....


Comments (0)