Salam,
PUTRAJAYA 9 Mei - Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuat kuasa esok.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zin Mohd. Dom berkata, dengan kenaikan itu, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta.
"Dengan kadar subsidi sebanyak 20 sen sekilogram, penjimatan dapat dilakukan sebanyak RM116.6 juta.
-Utusan-
Izinkan aku yang tak tahu langsung pasal bab-bab ekonomi untuk memberi pendapat. Aku tak nak terlalu analitik dan guna data untuk pendapat aku untuk artikel kali ni, hanya nak pakai logik sahaja:
1. Kita memahami tujuan kerajaan untuk mengurangkan subsidi gula untuk menyalurkan wang tersebut ke sektor yang lebih penting dan bermanfaat untuk rakyat. Yang kita kisahkan bukanlah harga gula, kerana apa lah sangat dengan kenaikan RM 0.20. Yang kita kisah sangat apabila adanya 'kenaikan berantai' akibat dari harga gula.
Jangan terkejut bila harga air dan makanan naik sebab harga gula naik. Pergi kedai mamak teh tarik naik (walaupun teh tarik pakai susu sejat, bukan gula), harga makanan warung tepi jalan naik, ntah-ntah harga kuih donut mak cik Kiah juga naik, 'Adik nak buat macam mana, kuih donut ni pakai gula, gula dah mahal sekarang, jadi terpaksa la mak cik nakikkan harga. Kalau tak makanlah donut tanpa gula'
Bukan sahaja itu, harga barang-barang lain yang menggunakan gula pasti akan naik. Contohnya roti krim dalam siap-siap pek, bukan pakai gula? Kalau tak naik harga pun, mereka akan kurangkan krim dalam roti, dah jadi tak sedap. Kualiti barang yang dijual dalam pasaran berkurang. kenapa? Harga gula naik...
2. Bila harga barang semua naik, maka bertambahlah perbelanjaan bulanan rakyat. Untuk mereka yang berada dalam golongan sosioekonomi menengah dan ke atas, aku tak rasa ada masalah. Yang kita khuatirkan untuk mereka yang masih lagi dalam golongan sosioekonomi rendah.
Di Indonesia perlu aku beritahu harga gula masih lagi jauh lebih tinggi dari Malaysia. Harga lebih kurang Rp10,000 (dalam RM3 lebih). Aku dapat lihat kesannya kepada mereka yang berpendapatan rendah. Susah mereka nak hidup. Ditambah dengan kenaikan harga barang global. Hidup rakyat miskin di sini makin parah.
Untuk kerajaan membuat tindakan menaikkan harga gula secara berperingkat, pendapat aku satu pelan alternatif perlu ada buat mereka yang berpendapat rendah. Adakah dengan cara menaikkan gaji minimum mereka ataupun menaikkan elaun bulanan untuk menampung beban yang mereka akan tanggung.
Ambil contoh sebab naik harga gula, jadi mereka terpaksa berbelanja lebih dalam RM1 setiap hari, jadi sebulan pakai RM30. Jika kerajaan naikkan gaji mereka walaupun sebanyak RM50 sebulan, kurang-kurang dapatlah lega sikit hati.
Tahun 2008 dicatatkan kakitangan kerajaan sebanyak 1.2 juta. Ambillah tahun 2011 jumlah kakitangan kerajaan sebanyak 1.5 juta orang. Jika naikkan gaji walau sebanyak RM50, kerajaan terpaksa keluarkan wang sebanyak RM75 juta. RM75 juta - RM116 juta. Kerajaan masih ada lebihan RM41 juta. Jadi beban rakyat berkurang dan lebihan boleh digunakan ke sektor lain.
Memang benar dangkal sungguh hitungan aku ni, banyak lagi faktor lain yang nak kena ambil kira. Kalau nak hitung banyak faktor lain, aku tak rasa jadi RM1 setiap hari, mungkin lebih. Macam aku kata, aku bukan pakar ekonomi, tapi aku yakin inilah semua rakyat macam kami ni fikir.
Kalau naik lebih lagi sebagai contoh RM300-400 kerana perbelanjaan rakyat meningkat? Kerajaan rugi kan? Jika begitu mana lebih baik, kekalkan subsidi atau naikkan gaji rakyat?
RM116 juta mampu untuk menggerakkan kerajaan? Secara makro aku tak rasa RM116 juta itu banyak. Tak banyak yang boleh kerajaan lakukan dengan wang sebanyak itu. Bagaimana pakar ekonomi sekalian? Adakah aku salah?
3. Aku kecewa dengan pandangan yang kurang bijak dari segolongan pemimpin. Kenaikan gula untuk mencegah penyakit???
Apa kandungan gula? Sukrosa..Lepas tu jadi apa? Glukosa..
Apa pula kandungan nasi, tepung dan ubi? Owh ya..karbohidrat..lepas tu jadi apa? Glukosa...
Yang menjadi masalah penyakit sistemik seperti diabetes adalah kerana meningkatnya KANDUNGAN GLUKOSA dalam darah yang mana kemungkinan kurangnya insulin dalam darah sehingga glukosa tidak dapat disimpan di dalam sel dalam bentuk glukagon atau mungkin kerana sel badan sudah resisten dengan insulin menyebabkan insulin tidak dapat mengubah glukosa kepada glukagon.
MENGURANGKAN PENGGUNAAN GULA PASIR tidak bermakna kurang penyakit akan kita dapat. Banyak lagi etiologi lain iaitu pemakanan tidak seimbang seperti memakan terlalu banyak sumber karbohidrat seperti nasi yang mengarah kepada penyakit diabetes dan juga gaya hidup yang tidak sihat.
Oleh itu, kepada mereka ni, hentikan penggunaan alasan kata kurang penggunaan gula pasir akan mengurangkan penyakit. Alasan anda tidak tepat dan salah dari fakta perubatan. Kalian hanya tunjukkan kalian tidak buat homework terlebih dahulu. Pakailah alasan lain yang lebih relevan.
Bab ni bidang aku, jadi aku tak rasa aku salah.
4. Walaubagaimanapun, jangan juga kita lupa yang kerajaan dah banyak membuat beberapa kebijakan untuk mengurangkan beban rakyat dari segi yang lain. Skim Rumah, Klinik 1Malaysia dan lain-lain sebenarya dah bayak bantu rakyat. Rakyat sedar tak? Mungkin tidak, sebab dah jadi fitrah manusia nampak susah depan mata, yang senangnya tak perasan pun.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pastilah pihak pro-pembangkang akan gunakan isu ini dan juga isu RON 97 sebagai modal mereka untuk hentam kerajaan. Jika mereka nak mainkan isu RON97, mereka salah strategi, hanya 10% yang pakai RON97, itupun orang kaya, jadi tak ada kena mengena dengan golongan berpendapatan rendah.
Dan kerajaan pula aku yakin apa yang aku cakap ni mereka dah fikir lama dah. Aku banyak borak-borak dengan pemimpin negara. Mereka tahu masalah ini, dan pasti mereka tahu bagaimana nak atasi. Hanya perlu tunggu dan sabar apa yang mereka rancangkan untuk kita rakyat. Jika tak ada juga? Jangan nak marah rakyat kalau ada yang berubah undi. Itu salah kalian kerana gagal untuk mengantisipasi isu yang timbul.
Kalau orang tanya aku, betul ke PRU ke 13 nanti tanggal 11.11.11????
Mungkin tidak.....