VVIP BLOG INI

Pelajar Rumah Anak Yatim Di Hulu Langat Menceritakan Pengalaman Sewaktu Kejadian Tanah Runtuh Berlaku

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 5/22/2011 06:51:00 pm

Salam,





Gambar dari Utusan



KAJANG, 22 Mei (Bernama) -- "Saya jerit suruh yang lain melarikan diri namun tanah runtuh dalam sekelip mata menyebabkan kebanyakan rakan ditimbus," kata Mohd Iman Abdullah.

Mohd Iman, 14, adalah antara pelajar Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang sempat menyelamatkan diri dalam kejadian tanah runtuh itu yang menyebabkan 25 orang tertimbus.

Mohd Iman berkata beliau sempat menjerit menyuruh rakan-rakannya yang lain melarikan diri apabila melihat tanah mula runtuh.

"Ketika itu kami semua berada di bawah khemah kerana hendak menyiapkan persiapan majlis dan saya melihat tanah bergerak dan runtuh sedikit," katanya.

Seorang lagi pelajar yang terselamat Mohd Jihad Jalal, 14, berkata keadaan ketika itu huru hara dengan bunyi pekikan dan jeritan minta tolong.

"Saya sendiri pada mulanya tertimbus sedikit di bahagian kaki sebelum ditarik oleh penduduk," katanya.

Mohd Faizal Isni, 17, pula berkata sebelum kejadian, dia terdengar bunyi kuat seakan ranting patah dan benda jatuh sebelum melihat tanah runtuh ke khemah.

"Ketika itu kami sedang siapkan pentas di khemah untuk sambut pegawai Finas yang dijadual datang pukul 5 petang dan saya berjaya melarikan diri sejurus kejadian," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk setempat yang merupakan antara yang terawal tiba di lokasi kejadian berkata beliau tiba 10 minit selepas kejadian dan mendengar jeritan meminta tolong sebelum setengah jam kemudian tiada suara yang kedengaran.

"Saya nampak ada budak yang badannya separuh tersepit dan saya cuba mengalihkan runtuhan namun tidak berjaya.

"Ketika saya sampai dengar suara minta tolong tetapi setengah jam kemudian tiada suara langsung," katanya sambil memberitahu bahawa semalam hujan lebat di kawasan itu.

Warden asrama anak yatim itu, Mohd Hambali Ismail, 34, berkata kejadian berlaku selepas pelajar selesai makan tengah hari dan beberapa pelajar ditugas membersihkan ruang makan itu.

"Masa kejadian saya berada di asrama dan mendengar bunyi dentuman kuat dan saya tengok ramai pelajar dah tertimbus.

"Keadaan masa tu tak boleh gambar dengan kata-kata...," katanya yang telah lima tahun menjadi warden di situ.

Beliau berkata sebelum ini beberapa kejadian tanah runtuh kecil pernah berlaku kira-kira 50 meter dari bangunan rumah anak yatim itu.

-- BERNAMA



-------------------------------------------------------------------------------------------------------
1. Bersedih dengan kejadian menyayat hati yang berlaku di Hulu Langat. Anak yang tiada ibu dan ayah mendapat musibah seperti ini.

2. Aku ingin mengucapkan tahniah buat semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa tanah runtuh. Usaha cepat mereka telah berjaya menyelamatkan 9 nyawa. 

3. Doa buat 16 korban tanah runtuh. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya buat anak-anak yatim ini.

4. Bangga dengan keputusan PM, DS Najib Tun Razak kerana memendekkan lawatannya ke luar negara setelah mendengar musibah ini. Ini yang kita mahukan, seorang pemimpin yang peka dengan kejadian yang berlaku di negaranya. Bukan setelah dengar, tetap mahu teruskan kerjanya. Rakyat dulu yang harus diutamakan, yang lain boleh diatur kemudian hari.

5. Aku sangat berharap kejadian ini tidak dipolitikkan. Ini adalah musibah yang mana semua rakyat bersatu mendoakan keselamatan mangsa. Bukan menyalahkan mana-mana pihak. Let Us Be Human Once!!

6. Aku mewakili pelajar Malaysia di Indonesia turut berdukacita atas musibah ini dan mendoakan buat mereka...Salam Takziah...

Comments (0)