VVIP BLOG INI

Kartun Unggul Negara Upin dan Ipin Fenomenal Di Indonesia!

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in , | Posted on 5/15/2011 09:43:00 pm

Salam,

Aku ingat lagi waktu aku tahun pertama di sini, waktu itu bulan puasa, kami mahasiswa adakan berbuka puasa bareng (bersama) dengan rakan-rakan Malaysia di Indonesia. Memang perkara biasa kami buat program seperti ini, maklumlah kalau sudah namanya anak perantau, rakanlah yang menjadi andalan. Berbuka bersama seperti ini boleh mengeratkan lagi hubungan di antara kami.

Sewaktu makan, mereka membuka satu cerita kartun yang aku tak tahu namanya, cerita mengenai dua orang budak kembar yang baru mahu belajar berpuasa. Comel betul. Setelah tanya-tanya rakan baru aku tahu nama cerita itu Upin dan Ipin. Ceritanya pendek sahaja, dalam 10-15 minit dan banyak pengajaran yang boleh digarap daripada cerita ini.

Cerita Upin dan Ipin mula ditayangkan di kaca tv Indonesia sejak beberapa tahun ini. Aku sungguh tak menyangka cerita Upin dan Ipin disambut hangat oleh rakyat di sini. Di mana-mana sahaja terutama anak kecil pasti akan sebut-sebut nama Upin dan Ipin.

Pernah suatu hari, aku bertemu dengan seorang pak cik, dia bertanya aku adakah aku orang Malaysia dan aku jawablah ya, takut juga kalau dia nak buat apa-apa, waktu itu pula isu hubungan Malaysia-Indonesia sedang kembali timbul. Perkataan pertama yang pak cik itu keluarkan adalah, 

'Upin dan Ipin ya? Bagus ceritanya.Lucu'.

Rupa-rupanya secara aku tak sedar cerita Upin dan Ipin sangat popular di kalangan rakyat di sini. Ingat Malaysia pasti ingat Upin dan Ipin. Kita sendiri rakyat Malaysia yang tinggal di Indonesia juga jarang menonton.

Baru-baru ini aku lihat iklan di tv. Lihat Upin dan Ipin membuat iklan Gery Pasta. Makanan ringan keluaran Garuda. Hebat orang sini, mereka tahu Upin dan Ipin sangat popular di kalangan kanak-kanak. Langsung mereka gunakan peluang itu untuk tarik kanak-kanak beli makanan mereka.

Bangga? Memang bangga. Mana tidaknya, rakyat di sini menyukai kartun buatan Malaysia dan dijadikan ikon di sini. Seronok lihat anak-anak membeli baju gambar Upin dan Ipin, belon Upin dan Ipin dan pelbagai lagi barangan yang punya gambar mereka. Betapa kartun ini menjadi fenomenal di negara Republik ini.

Kerajaan Malaysia boleh menggunakan populariti Upin dan Ipin untuk mengeratkan lagi hubungan antara dua negara. Banyak sangat salah faham antara dua negara. Ditambah pula dengan orang ketiga yang cuba nak menangguk air yang keruh memecah belahkan dua masyarakat serumpun ini. 

Peluang sudah ada, jangan sia-siakan. Jika dulu Siti Nurhaliza, sekarang giliran Upin dan Ipin yang boleh kita jadikan sebagai duta keamanan kita.





Comments (0)