VVIP BLOG INI

DS Najib: 3 Sifat Yang Harus Ada Pada Mahasiswa Di Luar Negara!!!

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 4/23/2010 11:22:00 am

Salam,


TOKYO, 20 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghuraikan tiga sifat yang sangat penting yang harus ada pada penuntut-penuntut Malaysia di luar negara.

Menurutnya jika penuntut tidak mengamalkan tiga sifat itu adalah lebih baik mereka meneruskan pengajian di negara sahaja kerana tindakan menghantar mereka ke luar negara tidak akan memberi faedah.

Beliau mendedahkan perkara itu kepada penuntut Malaysia yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Penuntut Malaysia di Jepun di sini malam ini.

Najib berkata perkara pertama ialah menguasai ilmu kerana untuk melaksanakan transformasi kepada negara, penuntut mestilah menguasai mata pelajaran sains dan teknologi, yang asasnya ialah matematik.

Katanya sains dan matematik adalah "dua beradik kembar" yang perlu dikuasai dengan cemerlang.

Perkara yang kedua, katanya, ialah penuntut haruslah dapat membangunkan personaliti diri.

"Ujian litmusnya ialah sama ada kita ini boleh diberikan pekerjaan atau tidak, bukan diberikan pekerjaan oleh kerajaan tetapi ujian litmus ialah diberikan pekerjaan oleh syarikat-syarikat multinasional dan syarikat-syarikat nasional yang lain.

"Jangan macam rusa masuk kampung...tergamam...dulu sebelum pergi ke luar negara, malu-malu, takut jumpa orang dan tak peramah...," katanya.

Beliau menasihatkan mereka supaya membangunkan personaliti supaya menjadi lebih ceria, berkeyakinan diri dan menguasai kemahiran berkomunikasi.

Najib berkata mereka harus berubah di peringkat individu supaya menjadi lebih yakin dan menjadi seseorang yang berjaya agar mereka boleh menjadi warganegara global atau penggerak global.

Perkara ketiga, kata Najib, ialah dalam mendapatkan pendidikan, yang penting bukan mengenai soal ilmu semata-mata tetapi juga mempelajari nilai-nilai baik yang terdapat pada masyarakat di negara tempat mereka menuntut.

"Saudara-saudari bukan sahaja perlu melihat tetapi juga perlu memerhati apa yang baik di Jepun ini," katanya.

Beliau berkata mereka harus memerhatikan bagaimana Jepun yang pernah hancur dalam Perang Dunia Kedua dan tidak mempunyai hasil-mahsul boleh membangun dan berjaya.

"Tentu mereka mempunyai banyak nilai-nilai positif. Perhatikan kejayaan Jepun ini dan apakah nilai-nilai yang boleh membuatkan mereka berjaya," katanya.

Beliau berkata antara nilai-nilai positif yang dimiliki masyarakat Jepun ialah kerja kuat, perasaan bangga dan masyarakat yang tepat dan teliti).

Lebih 300 penuntut Malaysia menghadiri majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pemangku Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som.

(Sumber: BERNAMA)


Aku bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh PM, DS Najib mengenai3 sifat yang perlu semua pelajar terapkan apabila belajar di luar negara.

Aku sangat bersetuju dengan poin no. 3 mengenai perlunya memerhatikan nilai-nilai yang baik yang ada pada sesuatu bangsa. Apabila dah ada di luar negara, pasti mata dan minda akan terbuka melihat perbezaan di antara orang kita dan mereka. Dan tak semua perbezaan itu buruk, ada perkara baik yang boleh kita ambil contoh dan tauladan, dan jika yang tak baik tak perlu kita nak ikuti.

Aku berharap semua mahasiswa di Indonesia dapat mengambil apa yang telah PM kita, DS Najib beritahu ini. Walaupun beliau beritahu kepada pelajar Jepun, tak semestinya kita di Indonesia tak boleh nak ambil manfaat daripada yang beliau hasratkan. Semoga semua mahasiswa yang ada di luar negara,apabila pulang nanti dapat berbakti, jika tidak pada peringkat kerajaan, sekurang-kurangnya kepada masyarakat kita.




MEMBENTUK SIKAP!!



sekian...




Comments (0)