Melayu Perlu Ubah Mentaliti!
Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in Malaysia , Poltik | Posted on 4/26/2011 11:06:00 pm
Salam,
Sudah lama aku tidak memberikan pandangan dan opini aku di dalam isu politik negara. selama ini aku lebih suka menjadi pemerhati daripada menjadi pengkritik. Dahulunya aku memang pengkritik tegar. Bukan aku tidak tahu apa yang berlaku, dari cerita video lucah sehinggalah PRN Sarawak tapi biarlah taiko-taiko blogger lain yang memberikan pendapat. Iyalah, siapalah aku ni, paling pun aku hanya boleh memberikan pandangan dangkal aku dalam satu isu tapi blogger lainnya siapkan bukti sekali buat tontonan pembaca blog lainnya.
Akan tetapi, baru-baru ini timbul satu isu yang menjadi kebimbangan aku dan menyebabkan aku terpanggil untuk memberikan pendapat. Isu politik perkauman kembali menghangatkan arena politik negara. Tak perlu aku nak tunjuk satu belah pihak sahaja, jujur sahaja kedua-dua pihak juga memainkan isu ini. Satu pihak mula membakar sentimen perkauman di dalam PRN Sarawak, satu pihak lagi pula keluarkan slogan '1Melayu, 1Bumi' dengan alasan pihak yang sana mulakan terlebih dahulu. Yang lebih hebat, ada pula pertubuhan yang menyokong dan berdemo kerana marah pihak pro-kerajaan membangkang idea tersebut.
Apa yang nak jadi ni?
Apakah mereka tidak pernah terfikir natijah daripada idealisme yang mereka keluarkan ini? Apakah mereka tidak rasa idea ini hanya bawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan?
Sifir untuk isu ini mudah sahaja, sorang sokong sana, sorang sokong sini = terbentuk dua puak, akibat? Kaum yang lebih besar akan kuasai kaum yang lebih kecil. Kaum yang kalah akan huru-harakan negara. Apakah mereka tidak dapat melihat kesan buruk ini atau pun mereka tahu tapi hanya tutup mata dan telinga? Atau apakah aku sendiri yang membuat penilaian yang kurang matang?
Dan kaumku, bukan boleh dicabar, pantang ada yang naik lemak sikit, lagilah daripada kaum itu, mulalah darah menggelegak, panas dah naik sampai ke kepala, hilanglah pertimbangan dan melakukan perkara yang tak sepatutnya. Waktu itu keluarkan segala maki hamun dan melaungkan perlembagaan seperti yang lazimnya mereka lakukan.
Tidak sama sekali aku menafikan Perlembagaan 153 yang menjaga hak keistimewaan kita. Hak itu telah pun termaktub di dalam perlembagaan negara. Apa yang lebih tinggi daripada perlembagaan? Tidak ada kan? Namun, soalan aku, adakah itu satu-satunya cara?
We Malays must succeed in all areas including economy, academic and politic. We earn their respect! We must not force them to succumb to the constitution. If we achieve this, it's them eventually admit that we are 'tuan' in our beloved homeland. Not to forget, we as 'tuan' have to accept their rights as a part of our country.
Rakan-rakan, sudah tiba waktu kita Melayu mengubah mentaliti kita. Sudah tiba waktu kita meningkatkan prestasi dan gerak kerja kita. Sudah tiba waktu untuk kita berusaha keras untuk duduk sama tinggi dengan kaum yang lain. Dari segi akademik, kita masih kalah. Ekonomi? Apatah lagi. Jangankan nak sama taraf dengan mereka, ekuiti 30% yang diperuntukkan kerajaan juga kita hanya mampu mengisi kurang daripada 20%. Itu pun sudah dibantu kerajaan, jika dibiarkan berusaha dengan kaki sendiri?
Aku kritikal apabila berbicara mengenai bangsaku. Bangsa kita tidak memerlukan pujian, kerana pujian hanya mendatangkan kemusnahan. Bangsa kita perlu dipupuk untuk mengubah mentalitinya. Lihat sahaja senario sekarang, pernah lihat mat rempit Cina? Yang aku selalu nampak mat-mat kereta Evo Cina banyak. Waktu kecilnya Melayu buat apa, mereka pula di mana? Membantu keluarga berniaga atau duduk di dalam kedai dengan sempoa di sebelah mereka.
Inilah yang selalu aku tekankan apabila aku berbicara mengenai bangsaku. Yang menyebabkan bangsa ini ke arah kehancuran bukan kerana orang lain, tetapi kita sendiri.
Pasti ada yang tidak setuju dengan pendapatku. Aku tetap beranikan diri untuk mengkritik bangsaku sendiri bukan kerana aku mahu menjatuhkan martabat kita tetapi aku ingin bangsa ini menjadi lebih baik.
Ingatlah wahai bangsaku, tiada guna menundukkan orang lain dengan kekerasan, tunjukkan kematangan, bina integriti, keupayaan dan kapabilitas kita. Satu hari nanti, orang pasti akan menghormati kita kembali.
Buat semua pihak, HENTIKAN POLITIK RASIST. Anda hanya merosakkan negara. Jauh sekali berbuat kebaikan untuk negara aku yang aku cintai. Keharmonian dan perpaduan antara kaum amat mahal harganya dan ianya menjadi teras dan nadi negara kita. Jangan kerana kepentingan politik kalian, intergrasi nasional ini dijual. Jangan kerana bersorak, kampung sendiri tergadai. Jangan kerana kalian habis rosak susu sebelanga. Nilai kesatuan ini jauh lebih berharga dari kerakusan kalian semua.
sgt stuju dgn pndpat anda..=)
p/s:x bz ke jd koas skang da bole blog slalu..hehe
terima kasih
tak de lah free sgt, tapi sbb sgt suka menulis dan memberikan pendapat, luang lah dalam sejam memerah otak memberikan idea dan membuat penulisan yang baik, bisa aja..:)