VVIP BLOG INI

Pernyataan Akhbar Saya Mengenai Isu Peperiksaan Standard Untuk Mahasiswa Perubatan Luar Negara

Posted by ||Aku Pemikir|| | Posted in | Posted on 4/07/2011 01:13:00 pm

Salam,



JAKARTA, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan harus mengambil kira perbezaan sistem pengajaran universtiti di luar negara dengan universiti di Malaysia dalam membuat penentuan mengenai peperiksaan standard untuk semua doktor lulusan luar negara agar dapat disesuaikan dengan kompetensi mereka mengikut negara.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Pusat, Khairul Hafidz berkata perkara itu penting diambil perhatian kerana setiap universiti mempunyai sistem yang tersendiri dalam mengajar ilmu perubatan kepada pelajarnya.

"Sistem yang dipelajari oleh kami di luar negara seperti di Indonesia, India, UK (United Kingdom), Ireland dan Rusia tidak sama 100 peratus dengan sistem yang diajar kepada pelajar di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Khairul Hafidz memberi reaksi kepada kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai di sini semalam mengenai cadangan kementerian itu untuk memperkenalkan satu peperiksaan standard kepada semua doktor lulusan luar negara bagi mengiktiraf kelulusan mereka.

Yang Dipertua PKPMI itu berkata prosedur perawatan di hospital juga berbeza kerana setiap hospital mempunyai protokol tersendiri yang telah disahkan untuk merawat pesakit yang datang ke hospital mereka.

"Pemberian dos ubat-ubatan setakat penilaian saya, juga berbeza untuk pesakit di Indonesia dan pesakit di Malaysia," kata beliau.

Selain itu pelajar perubatan di Indonesia, katanya turut menghadapi kekangan bahasa kerana mereka lebih banyak menggunakan bahasa tempatan dalam memberi rawatan kepada pesakit, walaupun pelajaran disampaikan dalam bahasa Inggeris di universiti.

"Sesuai dengan keadaan ini, saya memohon agar kami diberikan waktu untuk bersiap sedia sebelum menghadapi peperiksaan. Saya juga mencadangkan agar diadakan kursus-kursus untuk memberikan kami lebih pendedahan kepada perubatan Malaysia dalam mempersiapkan diri kami menghadapi peperiksaan," katanya.

Khairul Hafidz berkata oleh kerana sebahagian besar daripada 6,000 penuntut Malaysia di Indonesia adalah pelajar perubatan, pandangan mereka wajar diambilkira dan diterima semua pihak kerana mereka juga mengharapkan yang terbaik untuk profesion itu.

"Kami pelajar Malaysia di Indonesia tidak ada masalah dengan cadangan Menteri Kesihatan kerana kami yakin apa yang telah kami pelajari di sini memenuhi kualiti yang diinginkan oleh negara, namun kami berharap Kementerian Kesihatan akan peka dengan sistem kami di sini yang dengan sistem di Malaysia dan peperiksaan itu harus disesuaikan dengan kami," katanya.

Mengenai isu Universiti Negeri Surakarta 11 Maret, Solo, beliau berkata PKPMI dan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia telah lama memperjuangkannya dan tetap percaya bahawa pelajar Malaysia di universiti itu berhak mendapat pengiktirafan, walaupun jumlah mereka hanya 26 orang.

"Oleh itu kami PKPMI Pusat bersama para pelajar perubatan dari Malaysia di Universiti 11 Maret meminta Kementerian Kesihatan dan MMC (Majlis Perubatan Malaysia) menimbang untuk memberi pengiktirafan kepada universiti ini. Kami yakin kualiti pelajar di Universiti 11 Maret tidak akan kalah dengan pelajar-pelajar perubatan lepasan luar negara yang lain.

"InsyaAllah, kami pelajar Malaysia di Indonesia, tidak kira daripada lepasan universiti manapun, akan pulang ke tanah air dengan berbekalkan kepakaran untuk menyumbang khidmat bakti kepada rakyat dan negara. Kami yakin khidmat yang bakal kami berikan kepada rakyat Malaysia adalah sama seperti doktor-doktor lepasan universiti manapun di dunia ini," katanya.

-- BERNAMA

Comments (0)